
ULASAN BERITA
- MoU 14 perkara antara Iran dan AS ditandatangani secara digital; bertujuan mengakhiri konflik berlanjutan dan memulakan rundingan pelaksanaan.
- Perjanjian merangkumi pembinaan semula ekonomi Iran bernilai sekurang-kurangnya US$300 bilion, mirip pemulihan pasca perang besar abad ke-20.
- MoU memberi harapan meredakan gangguan bekalan minyak melalui jaminan keselamatan Selat Hormuz dan pelonggaran sekatan ekonomi.
Di sebalik kemeriahan Piala Dunia 2026 yang menghimpunkan jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia, satu lagi peristiwa besar yang berpotensi mengubah landskap geopolitik global berlaku di pentas diplomasi antarabangsa.
Semalam (18 Jun 2026), dunia tertumpu kepada pemeteraian draf Memorandum Persefahaman (MoU) 14 perkara antara Iran dan Amerika Syarikat, bertujuan menamatkan konflik berpanjangan yang telah berlarutan lebih 110 hari.
MoU tersebut ditandatangani secara digital, sebelum rundingan awal pelaksanaannya dijadual berlangsung di Switzerland hari ini (19 Jun 2026).
Terdapat perkara yang mencuri perhatian sewaktu Presiden Donald Trump memeterai dokumen bersejarah itu.
Trump menandatangani draf MoU berkenaan di Istana Versailles, sebuah lokasi yang terpahat dalam sejarah dunia sebagai tempat termeterainya Perjanjian Versailles pada tahun 1919 yang menamatkan Perang Dunia Pertama.
Di istana sama, Jerman suatu ketika dahulu dipaksa menerima syarat-syarat yang berat sebagai negara yang tewas dalam peperangan.
Selepas lebih satu abad peristiwa itu berlalu, Istana yang pernah didiami Raja Louis ke-14 tersebut sekali lagi menjadi saksi kepada usaha menamatkan sebuah konflik yang mengancam kestabilan serantau dan keselamatan ekonomi dunia.
Kebetulan atau suratan, antara perkara yang terkandung dalam MoU itu ialah persetujuan untuk melaksanakan program pembinaan semula ekonomi Iran bernilai sekurang-kurangnya US$300 bilion.
Peruntukan berskala besar itu mengingatkan banyak pihak kepada usaha pemulihan ekonomi yang pernah dilaksanakan di Eropah selepas peperangan besar abad ke-20.
Bezanya, matlamat kali ini untuk memulihkan kestabilan sebuah negara yang berdepan tekanan ekonomi dan konflik berpanjangan.
Menurut pendapat beberapa penganalisis, MoU tersebut berpotensi besar untuk memuktamadkan satu perjanjian yang lebih menyeluruh dan mengikat dalam tempoh rundingan selama 60 hari.
Ini kerana kurang daripada lima bulan dari sekarang, Amerika Syarikat akan mengadakan pilihan raya pertengahan penggal.
Sekiranya konflik yang ‘membakar’ kos berbilion dollar itu berterusan dan tidak memberi jaminan Washington akan menang, parti Republikan pimpinan Trump boleh hilang majoriti.
Realitinya, Amerika Syarikat dan sekutunya Israel pasti tidak akan mengaku kalah dalam konflik ini, pada masa sama buntu mencari jalan untuk menundukkan Tehran. Maka jalan selamat yang dipilih ialah menawarkan perjanjian damai.
Bagi pakar geopolitik antarabangsa, Matthew Kroenig dan Josh Lipsky, dunia mungkin sedang menyaksikan permulaan kepada satu perubahan besar di Asia Barat.
Namun dokumen yang ditandatangani itu hanyalah langkah pertama. Kejayaan sebenar perlu diukur apabila kedua-dua pihak menterjemahkan MoU tersebut di lapangan.
Walau apa pun tafsiran penganalisis politik dan pemerhati antarabangsa, pemeteraian MoU itu tetap memberi nafas lega kepada masyarakat global yang diancam krisis bekalan global.
Ia menjadi langkah awal ke arah penyelesaian beberapa isu kritikal antara Tehran dan Washington,
Sepanjang tempoh rundingan, Amerika Syarikat dijangka melonggarkan beberapa sekatan ekonomi terhadap Iran, manakala Tehran memberi jaminan terhadap keselamatan laluan perdagangan maritim di Selat Hormuz yang menjadi antara laluan tenaga paling penting di dunia.
Dari sudut geopolitik, perkembangan ini berpotensi meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak global yang sebelum ini mencetuskan ketidaktentuan pasaran dan meningkatkan risiko kepada ekonomi dunia.
Pembukaan semula Selat Hormuz secara penuh bukan sahaja penting kepada negara-negara pengeluar minyak, malah memberi manfaat kepada ekonomi dunia yang bergantung kepada kestabilan aliran perdagangan dan tenaga merentasi rantau tersebut.
Namun begitu, cabaran sebenar masih menanti dengan dunia kekal memerhati. Sama ada ia mampu bertahan atau sekadar satu lagi episod sementara dalam konflik berpanjangan Asia Barat.
Begitu pun buat masa ini, dunia memilih untuk melihat pemeteraian MoU tersebut sebagai sinar baharu di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Walaupun belum menjanjikan keamanan yang berkekalan, ia sekurang-kurangnya membuka ruang kepada dialog, mengurangkan risiko konflik yang lebih besar, serta memberikan harapan bahawa diplomasi masih mampu mengatasi konflik.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Jalaluddin Baharin.