
KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pemain boling wanita negara mendominasi kategori Graded Wanita pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 apabila menguasai ketiga-tiga kedudukan podium yang dipertandingkan.
- Ayra Nur Jehan Aminuddin juara Graded Wanita dengan 1,777 jatuhan pin, terinspirasi sokongan keluarga selepas lama tidak bertanding.
- Adriana Ramiza tempat kedua 1,731 jatuhan pin; Nurul Imanina tempat ketiga 1,693 jatuhan pin.
- Kategori Graded Wanita disertai 18 pemain dari tiga negara; hadiah: juara RM8,000, naib juara RM4,000, tempat ketiga RM2,000.
Gelaran juara menjadi milik pemain Persatuan Tenpin Boling Selangor, Ayra Nur Jehan Aminuddin, selepas mencatatkan 1,777 jatuhan pin.
Kejayaan itu lebih bermakna buat Ayra yang mengakui sudah agak lama tidak menyertai kejohanan kompetitif, selain menerima suntikan semangat daripada ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan.
“Saya cuba kekalkan fokus dan mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan kutipan mata. Kehadiran keluarga turut memberi motivasi untuk saya memberikan persembahan terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.
Tempat kedua diraih pemain Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak, Adriana Ramiza, yang mengumpul 1,731 jatuhan pin, hanya 46 pin di belakang Ayra.
Sementara itu, pemain Majlis Sukan Negeri Johor, Nurul Imanina, melengkapkan penguasaan Malaysia di podium apabila menduduki tempat ketiga dengan 1,693 jatuhan pin.
Kategori Graded Wanita menyaksikan penyertaan 18 pemain dari tiga negara, dengan majoriti peserta terdiri daripada pemain kebangsaan, selain wakil dari Singapura dan Filipina.
Sebagai juara, Ayra membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, manakala Adriana menerima RM4,000 dan Nurul Imanina memperoleh RM2,000.
Kejohanan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes itu sekali lagi membuktikan kekuatan skuad boling wanita negara di pentas antarabangsa, selain memberi petanda positif terhadap peluang Malaysia untuk terus bersaing di peringkat lebih tinggi.
Kategori Graded Wanita merupakan acara kedua terakhir dalam kejohanan berkenaan sebelum saingan Campuran Terbuka Akhir Master yang akan berlangsung hari ini di venue sama, dengan hadiah kemenangan keseluruhan mencecah RM30,000.