
SERDANG, 20 Jun – Kejayaan Terengganu dan Sabah dalam acara 4×400 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia menjadi suntikan semangat buat kedua-dua pasukan menjelang saingan Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
- Terengganu menang 4x400 meter wanita, catat 3 minit 56.13 saat.
- Sabah juara 4x400 meter lelaki, catat 3 minit 17.60 saat; Sarawak kedua, Terengganu ketiga.
- Kemenangan beri keyakinan; Nur Aliya sasar podium selepas dua kali gagal SUKMA, kedua pasukan fokus perkemas persiapan.
Dalam acara 4×400 meter wanita, kuartet Terengganu yang dibarisi Nurin Aida Rosdi, Nur Farisha Ardeana Ardy Abdullah, Wan Nur Afrina Wan Osman dan Nur Aliya Najihah Muda mencatat masa 3 minit 56.13 saat untuk muncul juara.
Tempat kedua menjadi milik Malaysian University dengan catatan 3 minit 57.76 saat, manakala Sarawak melengkapkan podium selepas merekodkan masa 4 minit 00.52 saat.
Bagi Nur Aliya, kemenangan itu memberi keyakinan kepada pasukan Terengganu yang menyasarkan keputusan lebih baik pada SUKMA nanti.
“Harapan kami untuk Terengganu adalah meraih podium.
“Saya gagal SUKMA dua kali, jadi kali ini saya nak balas balik untuk diri saya dan pasukan. Saya akan usaha habis-habisan demi Terengganu,” katanya kepada media hari ini.
Sementara itu, dalam acara 4×400 meter lelaki, Sabah muncul juara selepas mencatat masa 3 minit 17.60 saat menerusi kuartet Ethanniel Mojutan, Meagkelvinus Pius, Deaxter Pius dan Ady Putra Aqasha Norahimee.
Sarawak mengisi tempat kedua dengan masa 3 minit 17.78 saat, diikuti Terengganu di tempat ketiga selepas merekodkan 3 minit 17.83 saat.
Prestasi ini menjadi petanda positif buat Terengganu dan Sabah menjelang SUKMA, dengan kedua-dua pasukan kini memberi tumpuan untuk memperkemas persiapan menghadapi saingan akan datang.