Fazri kekal positif, fokus buru rekod peribadi di Sukan Asia

foto RTM

SERDANG, 20 Jun – Pelari jarak sederhana negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari menamatkan saingan 800 meter lelaki Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 di tempat kedua dengan catatan satu minit 51.20 saat (s) di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fazri kecewa tidak capai sasaran kejohanan tetapi kekal positif dan anggap perkembangan baik untuk persediaan.
  • Fokusnya kini Sukan Asia September dengan sasaran memperbaiki rekod peribadi kepada 1 minit 47.64 saat.
  • Jika berjaya catat masa baik, beliau percaya peluang untuk mara ke peringkat akhir tetap ada.
  • Persiapan akan diteruskan mengikut perancangan jurulatih sambil berharap menampilkan prestasi terbaik.

Walaupun gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, Fazri tetap melihat keputusan itu sebagai satu perkembangan positif dalam persiapannya menghadapi cabaran lebih besar selepas ini.

“Sudah tentu saya sedikit kecewa kerana tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan untuk kejohanan kali ini.

“Namun, saya tetap positif dan menganggap pencapaian di Terbuka Malaysia ini sebagai satu perkembangan yang baik untuk prestasi saya,” katanya kepada media hari ini.

Fazri kini mengalihkan tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Asia pada September depan, dengan sasaran utama untuk memperbaiki rekod peribadi 1 minit 47.64s.

“Sasaran utama saya di Sukan Asia adalah untuk memperbaiki rekod peribadi. Jika berjaya mencatat masa yang baik, saya percaya peluang untuk mara ke peringkat akhir tetap ada,” jelasnya.

Beliau berkata persiapan akan diteruskan mengikut perancangan jurulatih, sambil berharap dapat menampilkan prestasi terbaik apabila tiba waktunya.

Dalam saingan akhir itu, pelari Sri Lanka, Dissanayaka Mudiyanselage Harsha Sandaruwan Karunarathna muncul juara selepas merekodkan masa satu minit 50.61s, manakala tempat ketiga menjadi milik Suyamprakasam Aswin Kumar dengan catatan satu minit 52.49s.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.