Izzatul Musfirah catat terbaik musim, sasar gelaran ratu pecut SUKMA 2026

foto RTM

SERDANG, 20 Jun – Atlet pecut negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira menjuarai acara 200 meter wanita pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026 selepas mencatat masa 24.62 saat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lega selepas mengharungi dua acara dalam dua hari dengan enam larian keseluruhan.
  • Fokus kepada saingan 4x100 meter bersama skuad Malaysia esok.
  • Mencatat masa terbaik musim; kejohanan beri gambaran positif terhadap tahap persediaan.
  • Berpindah fokus ke program latihan bersama jurulatih untuk SUKMA, menyasarkan gelaran ratu pecut dan rekod baru.

Kemenangan itu melengkapkan cabaran dua hari yang cukup sibuk buat Izzatul Musfirah yang beraksi dalam beberapa acara sepanjang kejohanan tersebut.

“Saya berasa sangat lega kerana berjaya mengharungi dua acara dalam tempoh dua hari dengan enam larian keseluruhannya.

“Selepas selesai acara 200 meter hari ini, fokus saya kini terarah kepada saingan 4×100 meter bersama skuad Malaysia esok. Saya juga bersyukur kerana berjaya mencatat masa terbaik musim,” katanya kepada media, hari ini.

Menurut Izzatul Musfirah, kejohanan itu memberi gambaran positif terhadap tahap persediaannya ketika ini, selain menjadi medan terbaik untuk menilai prestasi menjelang tugasan yang lebih besar selepas ini.

Katanya, sebaik sahaja tamat Terbuka Malaysia, tumpuan akan beralih kepada program latihan bersama jurulatih sebagai persediaan menghadapi temasya SUKMA.

“Selepas Kejohanan Terbuka Malaysia, saya dan jurulatih akan memberi fokus kepada program latihan sebagai persediaan ke SUKMA.

“Sasaran saya sudah tentu untuk meraih gelaran ratu pecut, mencatat rekod peribadi terbaik dan cuba memecahkan rekod kejohanan kerana saya percaya saya mampu melakukannya,” jelasnya.

Dalam perlumbaan akhir itu, Izzatul Musfirah menewaskan Franceine Jhobie Rosario yang meraih tempat kedua dengan catatan 25.01 saat, manakala Nur Aliya Najihah Muda melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan 25.19 saat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.