Biodiesel B15: Mengimbangi kepentingan rakyat, industri dan alam sekitar

Gambar hiasan/RTM

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengurangkan beban kos sara hidup melalui kestabilan harga bahan api dan pengurangan subsidi, membolehkan peruntukan semula kepada bantuan sosial dan perkhidmatan awam.
  • Memperkukuh industri sawit domestik dengan meningkatkan permintaan, menstabilkan harga dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil, memperkukuh pertahanan ekonomi negara.
  • Perlu imbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian; pembukaan ladang baharu beri risiko biodiversiti, jadi kawal selia dan amalan lestari penting.
  • Pendekatan berhati-hati Malaysia lebih sederhana berbanding jiran, menjadikan biodiesel relevan jangka sederhana untuk sektor sukar dialihkan ke elektrik.

Malaysia sedang melangkah ke satu fasa baharu dalam dasar tenaga negara menerusi pelaksanaan biodiesel B15. Iaitu campuran 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dengan 85 peratus diesel petroleum.

Dasar ini bakal dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Jun ini di seluruh Semenanjung yang menyaksikan peningkatan adunan (B12 atau B15) bermula di semua depoh pengadun dan stesen minyak.

Walaupun biodiesel sering dikaitkan dengan agenda hijau dan tenaga boleh baharu kerana ia merupakan biobahan mesra alam dan lebih mampan, pelaksanaan B15 sebenarnya mempunyai kaitan sangat rapat dengan kehidupan rakyat.

Khususnya dari sudut kos sara hidup dan kestabilan harga barang.

Namun timbul persoalan, adakah dasar ini benar-benar mampu membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup?

Pada masa ini, Malaysia masih menggunakan biodiesel B10 bagi sektor pengangkutan. Manakala, beberapa kawasan tertentu telah menggunakan B20 secara terhad, seperti Langkawi, Labuan dan Sarawak, kecuali Bintulu.

Menjelang 2030, kerajaan menyasarkan untuk melangkah lebih jauh dengan melaksanakan mandat B30 bagi sektor pengangkutan darat.

Ketika dunia sedang berdepan ketidaktentuan harga minyak global, negara yang terlalu bergantung kepada import bahan api akan lebih mudah terdedah kepada kenaikan harga mendadak.

Atas sebab itu, biodiesel dilihat sebagai sebahagian strategi pertahanan ekonomi negara untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, memperkukuh industri sawit, serta menangani tekanan ekonomi global.

Sekali gus, memastikan keterjaminan bekalan bahan api negara dan mengurangkan pergantungan terhadap bahan api import.

Secara teori, langkah ini boleh membantu menstabilkan kos bahan api domestik, di samping mengurangkan tekanan terhadap harga barang dan perkhidmatan.

Jika kos diesel meningkat, harga barang juga lazimnya turut meningkat. Di sinilah kaitan langsung antara pelaksanaan B15 dengan kehidupan harian rakyat.

Selain aspek harga bahan api, dasar ini turut dilihat mampu membantu kerajaan mengurangkan beban subsidi diesel yang mencecah berbilion ringgit setahun.

Penjimatan daripada subsidi ini boleh disalurkan semula dalam bentuk bantuan tunai kepada rakyat, serta menambah baik aspek pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Di samping itu, sektor biodiesel juga boleh menjadi pemangkin baharu kepada ekonomi luar bandar.

Peningkatan permintaan domestik terhadap biodiesel dijangka membantu menstabilkan harga sawit, seterusnya meningkatkan pendapatan komuniti pekebun kecil.

Bagi Malaysia, biodiesel bukan sekadar isu tenaga.

Tetapi turut menjadi instrumen mempertahankan industri sawit negara ketika Kesatuan Eropah misalnya, semakin mengetatkan dasar terhadap produk sawit atas alasan kelestarian dan penebangan hutan.

Meskipun biodiesel dianggap lebih rendah karbon berbanding diesel biasa, pengkritik berhujah bahawa pembukaan ladang sawit baharu boleh memberi kesan terhadap biodiversiti dan kawasan hutan.

Cabarannya kepada Malaysia, ialah bagaimana mahu menyeimbangkan antara pertumbuhan ekonomi dengan keselamatan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

Dalam konteks antarabangsa, Indonesia bergerak jauh lebih agresif dengan melaksanakan mandat B40 dan sedang merancang ke arah B50 sebagai strategi besar mengurangkan import diesel petroleum.

Malaysia pula memilih pendekatan lebih sederhana dan berhati-hati. Langkah ini mungkin lebih perlahan, tetapi berpotensi mengurangkan risiko kejutan kepada pasaran dan pengguna.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, pelaksanaan mandat biodiesel B15 tidak akan menjejaskan eksport bekalan minyak sawit negara kerana Malaysia masih mempunyai lebihan bekalan untuk kegunaan domestik.

Ketika ini, negara menghasilkan kira-kira 20 juta tan metrik minyak sawit setahun, dengan sekitar 16 juta tan dieksport ke luar negara. Pelaksanaan B15 hanya memerlukan kira-kira 0.8 juta tan metrik.

Hakikatnya, biodiesel mungkin bukan penyelesaian mutlak kepada masalah tenaga masa depan ketika dunia sedang bergerak ke arah kenderaan elektrik, hidrogen hijau dan teknologi tenaga baharu.

Namun untuk jangka sederhana, biodiesel masih relevan terutama bagi sektor logistik, pengangkutan berat dan industri yang sukar dialihkan sepenuhnya kepada elektrik.

Jika dilaksanakan dengan baik, ia akan menjadi sumber bahan api alternatif ketika berdepan krisis tenaga global, serta sebahagian daripada strategi Malaysia dalam mengharungi masa depan ekonomi dan tenaga yang semakin mencabar.

Ulasan berita ini disediakan oleh Masniza Awang Kechik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.