Waad nasional, memaknai semangat MA63

Antara persembahan tarian tradisional pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching 2026/Gambar hiasan-BERNAMA

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • MA63 sebagai waad nasional: perjanjian asas pembentukan Malaysia yang mesti dilaksanakan oleh seluruh Persekutuan.
  • Pelaksanaan MA63 perlu berasaskan kepercayaan, rundingan dan tindakan demi kepentingan bersama.
  • Sabah dan Sarawak menyumbang kepada kekuatan negara; pengiktirafan hak, perwakilan dan pembangunan penting untuk keseimbangan.
  • Perbezaan pandangan harus diurus melalui rundingan, kesediaan mendengar dan usaha mencari titik persamaan demi masa depan bersama.

Enam puluh tiga tahun. Di sebalik angka itu, tersimpan perjalanan panjang sebuah negara.

Pada 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada waktu itu bergabung membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia.

Baru sehari usia Malaysia itu, yang ada hanyalah keyakinan bahawa wilayah-wilayah yang berbeza latar, budaya dan pengalaman mampu berjalan bersama.

63 tahun kemudian, Malaysia sudah jauh berbeza. Pelbagai pencapaian, perubahan dan cabaran telah dilalui. Namun, satu perkara tetap kekal. Malaysia dibina atas satu persetujuan bersama.

Semakin kita memahami sejarah pembentukannya, semakin jelas bahawa hubungan antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan perlu berteraskan satu perkara paling asas, iaitu kepercayaan.

Di sinilah Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 mendapat maknanya. Ia bukan sekadar dokumen sejarah, sebaliknya sebahagian daripada asas pembentukan negara.

Oleh sebab itu, pelaksanaannya tidak seharusnya dilihat sebagai tuntutan satu wilayah terhadap wilayah yang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sambutan Hari Malaysia tahun ini menyifatkan MA63 sebagai “waad nasional”, yakni satu ikatan dan janji bersama.

Maknanya jelas. Pelaksanaan MA63 bukan urusan Sabah dan Sarawak semata-mata, tetapi tanggungjawab seluruh Persekutuan.

Semangat itu perlu diterjemahkan melalui rundingan dan tindakan yang mengambil kira kepentingan bersama.

Antara langkah yang diumumkan sempena Hari Malaysia tahun ini termasuk hak pemberian khas Sarawak, penambahbaikan BUDI Diesel serta bantuan khas pembelian tiket penerbangan secara sekali beri kepada pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam yang layak.

Langkah-langkah ini memperlihatkan bahawa hubungan Persekutuan sentiasa berkembang mengikut keperluan semasa, tanpa mengetepikan asas persetujuan yang membentuk Malaysia.

Namun, hubungan itu tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut hak, kuasa atau peruntukan. Sabah dan Sarawak sendiri mempunyai sumbangan besar kepada kekuatan negara.

Kedudukan geografi, sumber, ekonomi, kepelbagaian budaya dan potensi kedua-dua negeri merupakan sebahagian daripada kekuatan Malaysia.

Kemajuan yang dicapai di Sabah dan Sarawak, pada asasnya, turut menyumbang kepada kemajuan negara.

Begitu juga cabaran yang dihadapi kedua-dua negeri bukan isu wilayah semata-mata. Ia adalah sebahagian daripada cerita Malaysia.

Atas sebab itu, usaha menjadikan MA63 sebagai naratif nasional membawa makna yang lebih besar.

Secara mudahnya, apa yang dipersetujui ketika Malaysia dibentuk ialah sejarah yang dikongsi dan tanggungjawab terhadapnya juga perlu dipikul bersama.

Perkembangan terkini, termasuk persetujuan prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, menunjukkan bahawa hubungan dalam Persekutuan sentiasa berkembang mengikut keperluan semasa.

Begitu juga soal kewangan dan pembangunan.

Sabah masih membawa tuntutan berkaitan pemberian 40 peratus hasil bersih Persekutuan, sementara bayaran interim dinaikkan kepada RM1.5 bilion.

Rundingan juga terus berjalan. Semua ini menunjukkan satu perkara.

Dalam sebuah Persekutuan, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang biasa. Tuntutan juga akan sentiasa ada.

Yang lebih penting ialah bagaimana perbezaan itu diurus menerusi rundingan, kesediaan mendengar dan keinginan mencari ikatan titik persamaan. Kerana pada akhirnya, ikatan itu ialah Malaysia.

Selepas 63 tahun, mungkin sudah tiba masanya kita melihat hubungan Sabah, Sarawak dan Persekutuan daripada sudut yang lebih luas.

Bukan sekadar soal siapa mendapat lebih atau siapa mempunyai kuasa.

Sebaliknya, bagaimana semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan dalam kehidupan rakyat.

Kerana kekuatan Malaysia tumbuh daripada kemampuan untuk menghormati perbezaan, mengiktiraf sumbangan setiap wilayah dan tetap bergerak menuju matlamat yang sama.

Sambutan Hari Malaysia menjadi peringatan bahawa pembentukan sebuah negara membawa amanah yang merentasi generasi.

Namun, persoalannya kini bukan hanya bagaimana Malaysia dibentuk.

Tetapi bagaimana ikatan antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan terus diperkukuh agar negara ini kekal berdiri atas asas saling menghormati, keadilan dan kepentingan bersama.

Ini kerana, Malaysia bukan sekadar negara yang kita warisi. Malaysia ialah amanah yang perlu terus kita pelihara dan sempurnakan, bersama.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM Syuhada Hashim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.