
PUTRAJAYA, 2 Oktober – Mesyuarat pertama Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) akan diadakan di Singapura pada 2 November ini sebagai persediaan sebelum Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dilancarkan secara rasmi pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-13 pada 4 dan 5 Disember.
- Perbincangan antara Akmal Nasrullah dan Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong berlangsung positif, fokus memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia-Singapura.
- Fokus utama termasuk pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan inisiatif pemerangkapan serta penyimpanan karbon rentas sempadan.
- Komitmen pelaburan dari syarikat Singapura melebihi S$5.5 bilion setakat Oktober 2025, mencerminkan keyakinan pelabur.
- Matlamat utama ialah mencipta peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan kemahiran dan pertumbuhan ekonomi mampan untuk manfaat rakyat dan Johor.
Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong di pejabatnya di Kementerian Ekonomi, di sini semalam.
“Perbincangan kami berlangsung dalam suasana yang cukup positif, memfokuskan kepada usaha merancakkan lagi kerjasama ekonomi Malaysia-Singapura.
“Topik utama sudah semestinya kelancaran pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan inisiatif Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) rentas sempadan,” katanya.
Jelas beliau, potensi JS-SEZ sangat besar dengan Malaysia merekodkan lebih S$5.5 bilion atau RM17.97 bilion komitmen pelaburan daripada syarikat berpangkalan di Singapura setakat Oktober 2025.
Katanya, jumlah berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap iklim ekonomi Malaysia, selain menjadi asas kepada pelaksanaan fasa seterusnya JS-SEZ.
“Sudah pasti selaku Kementerian yang bertanggungjawab terhadap inisiatif JS-SEZ, matlamatnya juga adalah untuk memastikan limpahan inisiatif ini dirasai oleh orang Johor dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Bagi inisiatif CCS pula, kedua-dua negara menyasarkan untuk memeterai perjanjian dua hala pada suku keempat tahun ini sebagai satu langkah strategik ke arah pembangunan rantaian nilai hijau serantau.
“Bagi saya, kerjasama erat yang kita bina ini bukan sekadar angka pelaburan di atas kertas. Matlamat akhirnya adalah untuk menterjemahkan hubungan ini kepada penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti, peningkatan kemahiran, dan pertumbuhan ekonomi yang mampan demi manfaat rakyat,” jelasnya.