Musim terpanas di Eropah cetus tekanan haba

Foto hiasan

PARIS, 2 Oktober – Sebanyak 52 peratus kawasan Eropah terdedah kepada tekanan haba sangat tinggi sepanjang musim panas tahun ini, rekod tertinggi pernah dicatatkan, menurut pemantau iklim Kesatuan Eropah (EU), Copernicus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Musim panas 2026 antara yang terpanas di Eropah, dan paling panas bagi Eropah Barat.
  • Sebahagian besar Eropah mengalami tekanan haba tinggi, dengan suhu dirasai melebihi 38°C dan 32°C dalam tempoh panjang.
  • Kemarau menurunkan paras sungai, menjejaskan pengangkutan barangan, pengairan, penyejukan reaktor nuklear dan penjanaan tenaga hidro.

Menurut Ketua Iklim Pusat Ramalan Cuaca Jangka Sederhana Eropah (ECMWF), Samantha Burgess, musim panas 2026 mencatatkan tekanan haba bukan sahaja dari segi intensiti, malah meliputi kawasan yang lebih luas.

Musim panas tahun ini merupakan yang ketiga terpanas pernah direkodkan di Eropah dan paling panas bagi Eropah Barat, dengan beberapa negara mencatat suhu tertinggi dalam sejarah.

Copernicus memaklumkan kira-kira 52 peratus Eropah mengalami tekanan haba sangat tinggi, apabila suhu yang dirasai melebihi 38 darjah Celsius.

Sementara itu, kira-kira 80 peratus lagi kawasan Eropah pula mengalami tekanan haba tinggi dengan suhu dirasai melebihi 32 darjah Celsius selama 41 hari, jumlah tertinggi pernah direkodkan.

Keadaan cuaca kering turut menyebabkan aliran sungai di Eropah surut ke paras terendah sejak rekod bermula pada 1992, sekali gus menjejaskan pengangkutan barangan, pengairan, penyejukan reaktor nuklear dan penjanaan tenaga hidro.

Menjelang akhir Ogos, hampir separuh kawasan Eropah turut terjejas akibat kemarau.-AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.