N. Sembilan berpotensi muncul sebagai hab industri baharu negara

Suasana di sekitar Wisma Negeri di Seremban, Negeri Sembilan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Negeri Sembilan berpotensi muncul sebagai hab pertumbuhan perindustrian baharu negara susulan kemasukan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan, semikonduktor dan pusat data.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkembangan memberi limpahan kepada sektor pembinaan, pembangunan infrastruktur serta aktiviti ekonomi berkaitan.
  • Sektor pembuatan menyumbang 37.4% kepada KDNK Negeri Sembilan pada 2025, kedua tertinggi selepas sektor perkhidmatan.
  • Negeri Sembilan merekodkan pelaburan asing diluluskan bernilai RM3.4 bilion pada separuh pertama 2026.
  • SPD Tech Valley dan Negeri Sembilan Semiconductor Valley dalam koridor MVV 2.0, meliputi kira-kira 379,000 ekar di Seremban dan Port Dickson.

RHB Research berkata, perkembangan itu mula memberi limpahan kepada sektor pembinaan, pembangunan infrastruktur serta aktiviti ekonomi berkaitan.

Menurut firma penyelidikan itu, sektor pembuatan menyumbang 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan pada 2025, kedua tertinggi selepas sektor perkhidmatan yang menyumbang 53.3 peratus.

Negeri Sembilan turut merekodkan pelaburan asing diluluskan bernilai RM3.4 bilion pada separuh pertama 2026, berbanding RM4.4 bilion bagi keseluruhan 2025.

“Keadaan semasa berpotensi meletakkan Negeri Sembilan sebagai hab industri baharu di Malaysia selepas berjaya memanfaatkan kedudukannya berhampiran Kuala Lumpur, tanah industri yang kompetitif, infrastruktur yang semakin baik serta ekosistem semikonduktor yang semakin berkembang,” kata firma itu dalam satu nota kajian.

Jelas RHB Research, perkembangan itu turut disokong kewujudan beberapa kawasan perindustrian seperti SPD Tech Valley dan Negeri Sembilan Semiconductor Valley.

Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada koridor pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 yang meliputi kira-kira 379,000 ekar di Seremban dan Port Dickson.

Dalam pada itu, kemasukan pusat data berskala besar dijangka memberi limpahan positif kepada kontraktor pembinaan.

Setakat ini, Gamuda Bhd memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM8 bilion di negeri berkenaan.

Selain itu, beberapa projek hospital baharu termasuk Hospital Bandar Enstek dan Sunway Medical Centre Seremban Sentral berpotensi membuka peluang tambahan kepada kontraktor yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan kemudahan kesihatan.

Perkembangan pelaburan itu berpotensi menghasilkan kesan limpahan lebih luas kepada aktiviti ekonomi, pembangunan infrastruktur dan peluang sektor swasta di Negeri Sembilan, khususnya apabila ekosistem semikonduktor serta industri bernilai tinggi terus berkembang

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.