TTM perkukuh Malaysia sebagai hab pembuatan traktor terminal serantau

Foto Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd (TTM) terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan berorientasikan eksport selepas membekalkan lebih 8,000 traktor terminal buatan tempatan ke lebih 50 negara sehingga akhir Jun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemudahan Pasir Gudang dijadikan pusat serantau Terberg untuk Asia Pasifik dengan kapasiti pengeluaran sehingga 1,000 unit setahun.
  • Kemudahan meliputi pembuatan, pemasangan, pengurusan rantaian bekalan, pengedaran serantau, sokongan produk dan penyelidikan serta pembangunan.
  • Operasi disokong kira-kira 300 tenaga kerja dan rantaian pembekal tempatan, dengan perbelanjaan sekitar RM100 juta setahun.
  • Memperluas pengeluaran traktor terminal elektrik YT201EV; model generasi baharu merekodkan jualan global lebih 300 unit.

Beroperasi menerusi kemudahan di Pasir Gudang, Johor, TTM menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau Terberg bagi rantau Asia Pasifik dengan kapasiti pengeluaran sehingga 1,000 unit setahun.

Kemudahan itu merangkumi aktiviti pembuatan dan pemasangan, pengurusan rantaian bekalan, pengedaran serantau, sokongan produk serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Operasi TTM turut disokong kira-kira 300 tenaga kerja tempatan, sekali gus memperluas penglibatan bakat tempatan dalam sektor pembuatan peralatan industri bernilai tinggi.

Dalam perkembangan terbaharu, TTM memperluas pengeluaran traktor terminal elektrik berkuasa bateri menerusi model generasi baharu YT201EV yang diperkenalkan pada Mei lalu.

Model berkenaan merekodkan jualan lebih 300 unit di pasaran global setakat ini, mencerminkan peningkatan penggunaan teknologi elektrifikasi dalam sektor pengangkutan dan pengendalian kargo.

Sejak 2024, TTM turut melabur lebih RM12 juta bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran, termasuk menerusi penggunaan sistem automasi bagi menyokong proses pemasangan traktor berkuasa diesel dan elektrik.

Pada masa sama, syarikat membelanjakan kira-kira RM100 juta setahun dengan lebih 200 pembekal tempatan, dengan kira-kira separuh daripada bahan yang digunakan dalam proses pengeluaran diperoleh daripada pembekal domestik.

Langkah itu membantu memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta membuka peluang kepada lebih banyak syarikat Malaysia menyertai rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor peralatan industri dan teknologi automotif khusus.

TTM merupakan hasil kerjasama antara Sime Darby Industrial Sdn Bhd dan Royal Terberg Group dari Belanda, dengan operasi meliputi pengeluaran serta pembekalan traktor terminal, sokongan produk dan rangkaian pengedaran Terberg di rantau Asia Pasifik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.