
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Harga minyak sawit mentah diunjur berada pada paras RM4,500 satu tan metrik pada tahun ini didorong jumlah pengeluaran lebih tinggi separuh kedua 2026.
- Harga sawit yang lebih tinggi dijangka menyokong prestasi kewangan dan melonjakkan hasil sektor perladangan pada separuh kedua.
- Undang-undang Reforma Agraria Indonesia mewajibkan pemegang guna usaha sediakan sekurang-kurangnya 20 peratus tanah untuk penyusunan dan pengagihan semula.
- Syarikat berpotensi terjejas termasuk SD Guthrie Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd dan Genting Plantations Bhd.
PublicInvest Research menerusi nota penyelidikan memaklumkan harga yang lebih tinggi itu dijangka terus menyokong prestasi kewangan syarikat perladangan, sekali gus melonjakkan hasil sektor berkenaan pada separuh kedua.
“Berikutan penurunan harga saham syarikat perladangan baru-baru ini, keadaan ini dilihat positif berikutan prospek pendapatan separuh kedua yang kukuh, disokong harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, syarikat Malaysia yang mempunyai ladang besar di Indonesia berdepan risiko kawal selia selepas negara republik itu meluluskan Undang-undang Reforma Agraria pada bulan lalu.
Antara yang berpotensi terkesan dengan undang-undang baharu itu termasuk SD Guthrie Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd dan Genting Plantations Bhd.
Tambah PublicInvest Research, undang-undang baharu itu mewajibkan pemegang hak guna usaha dan permit perladangan menyediakan sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan tanah bagi tujuan penyusunan dan pengagihan semula tanah bagi memenuhi tuntutan perkongsian keuntungan setara.
Namun, firma penyelidikan itu berpandangan, peningkatan risiko kawal selia berkenaan tidak akan mengurangkan hasil atau aset dalam tempoh terdekat dan kesan undang-undang itu masih bergantung kepada peraturan pelaksanaannya.