
PUTRAJAYA, 2 Oktober – Kelab Media Putrajaya (KMP) mengecam tindakan sebuah akaun media sosial yang mengubah imej sekumpulan jurugambar dan wartawan ketika menjalankan tugas membuat liputan di Pusara Negara, Putrajaya, menjadi imej haiwan.
- KMP mengecam pengubahsuaian imej wartawan menjadi haiwan serta kapsyen menghina semasa membuat liputan di Pusara Negara.
- Petugas media tidak diberi pemakluman rasmi mengenai sekatan rakaman oleh pejabat Tun Dr Mahathir atau keluarga.
- KMP menegaskan kebebasan bersuara tidak sepatutnya dijadikan alasan merendahkan atau menghina petugas media.
- Laporan dibuat kepada MCMC dan PDRM, KMP komited mempertahankan maruah, keselamatan dan hak warga media.
Menurut KMP, petugas media terbabit ketika itu sedang membuat liputan lawatan Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
“Imej berkenaan turut disertakan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang dilihat sebagai penghinaan terhadap petugas media yang sedang menjalankan tanggungjawab professional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KMP menegaskan petugas media yang bertugas di lokasi berkenaan tidak menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai sekatan atau larangan rakaman daripada pejabat Tun Dr Mahathir dan keluarga.
“Pengamal media sentiasa memahami etika kewartawanan selain menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga, khususnya ketika membuat liputan dalam suasana dukacita.
“Kehadiran petugas media adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk mendokumentasikan peristiwa penting buat masyarakat dan negara,” menurut kenyataan itu.
KMP turut menegaskan hak setiap individu untuk mengkritik perlu dihormati, namun kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merendahkan atau menghina petugas media.
“Sebarang teguran sewajarnya dibuat berdasarkan fakta dan konteks sebenar,” katanya.
Sehubungan itu, KMP memaklumkan satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.
KMP pada masa sama menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan maruah, keselamatan dan hak warga media dalam menjalankan tugas secara profesional.
Dalam kenyataan sama, KMP turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah dan merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga.