Pengecualian gaji minimum bantu kelangsungan PMKS

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Pengecualian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum baharu dilihat mampu mengimbangi kelangsungan perniagaan dengan pertumbuhan ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecualian memberi ruang kepada PMKS mengukuhkan operasi menghadapi tekanan kos input akibat konflik di Asia Barat.
  • Kenaikan harga tenaga, diesel dan kos input lain menambah tekanan operasi terutamanya apabila bekalan berkurangan.
  • Pengecualian tidak wajar dilanjutkan lama; boleh mewujudkan jurang pendapatan, perlu dikaji semula selepas konflik reda.
  • Kerajaan setuju pengecualian sementara; akan gunakan subsidi gaji bawah Dasar Gaji Progresif untuk tingkatkan upah selari produktiviti.

Ketua Penyelidikan MBSB Research, Imran Yassin Md Yusof berkata, langkah itu memberi ruang kepada PMKS untuk mengukuhkan semula operasi ketika berdepan tekanan peningkatan kos input susulan konflik di Asia Barat.

Menurutnya, kenaikan harga tenaga dan diesel serta peningkatan kos input dalam sektor lain boleh menambah tekanan terhadap operasi perniagaan, terutama ketika bekalan turut berkurangan.

“Ini kerana mereka juga boleh berdepan dengan kos input yang lebih tinggi disebabkan konflik di Asia Barat. Harga tenaga, harga diesel dan sebagainya semakin meningkat.

“Selain itu, kos input daripada sektor lain juga meningkat dan bekalan pula berkurangan. Jadi, ini mungkin dapat mengimbangi keadaan supaya kos mereka tidak terlalu tertekan. Saya lihat ini sebagai satu pendekatan yang seimbang,” katanya kepada RTM.

Bagaimanapun, Imran berkata, pengecualian itu tidak wajar dilanjutkan untuk tempoh terlalu lama kerana berpotensi mewujudkan jurang pendapatan antara pekerja PMKS dengan pekerja dalam sektor lain.

Justeru, dasar berkenaan wajar dikaji semula selepas konflik di Asia Barat mereda bagi memastikan penyelarasan gaji dan pendapatan pekerja dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim mengumumkan kerajaan bersetuju supaya PMKS dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.

Menurut beliau, kerajaan akan menggunakan pendekatan lain bagi membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif bagi memastikan kenaikan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.