Flying doctors, terbang demi nyawa, berkhidmat tanpa sempadan

Gambar hiasan/RTM

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan 'Flying Doctors' adalah talian hayat bagi komuniti pedalaman, memastikan akses kesihatan tanpa mengira lokasi.
  • Operasi FDS Sarawak ditangguhkan sementara selepas nahas; medevac kecemasan diteruskan bersama bomba dan aset tentera diteroka.
  • Keperluan peningkatan keselamatan, tadbir urus, elaun wajar dan perlindungan insurans bagi petugas udara demi keberlangsungan perkhidmatan.

Ketika kebanyakan kita hanya perlu memandu kereta atau menunggang motosikal beberapa minit untuk bertemu doktor, ada yang terpaksa menunggu helikopter turun dari langit bagi mendapatkan rawatan.

Di kawasan pedalaman yang dipisahkan oleh hutan tebal dan sungai yang panjang, bunyi helikopter yang membelah awan, bukan sekadar bunyi enjin dan kipas yang bergema di udara.

Sebaliknya, bunyi yang membawa harapan. Terutamanya bagi ibu yang anaknya sakit, warga emas yang menunggu rawatan, serta pesakit terlantar.

Di dalam helikopter kecil itu, ada insan yang meninggalkan keluarga jauh di Semenanjung yang terpaksa menempuh perjalanan berisiko dan panjang di udara.

Mereka mempertaruhkan masa, tenaga, keselesaan, malah keselamatan diri, semata-mata bagi memastikan tiada yang terkecuali daripada mendapat akses kepada rawatan perubatan.

Tidak kira di mana pun ceruk pelosok yang perlu dikunjungi, mereka tetap komited dan berdedikasi dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Tidak boleh dinafikan, insan bergelar ‘Flying Doctors’ ini adalah wira sebenar.

Meskipun kedatangan mereka tidak disambut dengan sorakan atau diraikan dalam majlis gilang gemilang, kemunculan wira tidak didendang ini amat disyukuri dan sentiasa dinantikan kerana membawa makna yang sangat besar.

Bagi insan-insan yang melaksanakan misi kemanusiaan ini, tiada nyawa yang dianggap terlalu jauh untuk diselamatkan.

Di Sarawak, merekalah penghubung antara masyarakat di pedalaman dengan sistem kesihatan, sejak tahun 1973.

Menerusi ‘Flying Doctor Service’ (FDS) atau perkhidmatan doktor udara ini, mereka menjelajah ke 109 kawasan di Bumi Kenyalang, bagi menjamin masyarakat di kawasan terpencil dan terputus akses jalan darat, tidak terpinggir daripada mendapat liputan kesihatan.

Selain Sarawak, perkhidmatan doktor udara ini turut beroperasi di kawasan tertentu di Sabah.

Namun susulan nahas helikopter di Long Lellang, Miri, Selasa lalu, Kementerian Kesihatan terpaksa menangguhkan sementara semua operasi FDS di Sarawak.

Ia bagi membolehkan siasatan dan semakan menyeluruh dilakukan terhadap mekanisme keselamatan, serta operasinya.

Bagaimanapun, Perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan terus beroperasi menerusi kerjasama KKM dengan pihak bomba.

Pada masa sama, KKM meneroka penggunaan aset Angkatan Tentera Malaysia untuk membantu menerbangkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan ke fasiliti kesihatan bersesuaian.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, penilaian menyeluruh akan dilaksanakan terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak.

Termasuk aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan, serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.

Penilaian ini bertujuan memastikan pendekatan yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan, lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat.

KKM turut menilai semula lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS, termasuk alternatif pengangkutan, serta pendekatan lain yang selamat dan praktikal.

Saranan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia agar penggunaan risikan keselamatan termasuk kecerdasan buatan (AI), data serta kepakaran kolektif dipertingkat bagi mencegah kemalangan penerbangan, juga wajar diberi perhatian.

Mungkin pada masa hadapan, KKM boleh mempertimbang penggunaan dron sebagai ambulans bagi mengangkut pesakit dari lokasi terpencil ke hospital atau kemudahan kesihatan terdekat.

Seperti mana penggunaan dron bagi penghantaran ubat-ubatan yang bakal dilancarkan secara rintis pada suku keempat tahun ini di Tawau, Sabah, dan sudah tiba masa, elaun petugas perubatan udara ini ditambah baik.

Ini memandangkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara yang dinikmati mereka sejak 1978 tidak pernah berubah, iaitu 30 ringgit bagi satu penerbangan pergi dan balik.

Selain itu, setiap petugas kesihatan yang menjalankan tugas rasmi di mana-mana lapangan juga wajar dilindungi insurans perjalanan dan kemalangan diri.

Hakikatnya, insan bergelar ‘Flying Doctors’ ini tidak meminta untuk dikenang. Jauh sekali untuk diangkat sebagai wira.

Tetapi komitmen luar biasa dan dedikasi mereka dalam melaksanakan misi kemanusiaan kritikal, tidak dapat disangkal.

Perkhidmatan mereka menjadi talian hayat utama, bagi memastikan perlindungan kesihatan sejagat dapat dicapai, tanpa meminggirkan sesiapa.

Kepada waris dan keluarga lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, takziah diucapkan.

Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang dan terpahat dalam lipatan sejarah.

Terima kasih wira dan wirawati negara!

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Masniza Awang Kechik.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.