Ramadan madrasah muhasabah diri

Tinjauan di pasar raya di Subang Jaya menyaksikan orang ramai turut memanfaatkan bantuan SARA bagi membeli barangan keperluan harian/Foto hiasan BERNAMA

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramadan sebagai madrasah muhasabah diri untuk memperbaiki akhlak, disiplin dan keupayaan diri.
  • Bersedekah dan berkongsi rezeki, termasuk guna bantuan SARA untuk bantu golongan memerlukan.
  • Kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi dan bantuan tunai bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

Kedatangan bulan Ramadan yang sememangnya dirindui dan ditunggu-tunggu umat Islam di seluruh pelosok dunia, disambut dengan penuh rasa syukur kerana diberi peluang untuk bertemu kembali dengan bulan yang mulia ini.

Penghulu segala bulan yang menjanjikan ganjaran cukup istimewa buat umat Islam. Kesyukuran yang dititipkan bukan sahaja terucap di bibir semata-mata, tetapi dihayati menerusi tindakan.

Seperti yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramadan merupakan madrasah terbaik untuk muhasabah diri selain meningkatkan jati diri, keupayaan dan mutu kerja serta memperbaiki segala kelemahan.

Para ulama sendiri mengaitkan Ramadan sebagai madrasah ruhiyah yang menekankan pembinaan kekuatan dan disiplin diri di samping menyemai keprihatinan terhadap golongan miskin serta mereka yang memerlukan. Malah, bersedekah di bulan Ramadan antara amalan terpuji dan bukan sebagai adat semata-mata.

Pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua, misalnya boleh dipanjangkan kepada mereka yang memerlukan. Tahun lalu, RM150 juta bantuan SARA tidak ditebus.

Bagi sesetengah individu, nilai RM100 yang diterima mungkin jumlah yang kecil. Namun di tangan mereka yang tahu menghargai, nilainya mampu berkembang menjadi sinar buat insan lain yang lebih memerlukan.

Pemberian itu boleh digunakan sebaik mungkin untuk membeli barangan asas seperti beras, telur, minyak, gula dan makanan sejuk beku. Bukan untuk diri sendiri, sebaliknya disedekahkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Selain menjadi medium berkongsi rezeki, pemberian SARA ketika umat Islam bersiap sedia menyambut Ramadan, disambut dengan penuh kesyukuran. Dalam tempoh lima hari selepas bantuan dikreditkan, 9 Februari lalu, kira-kira 8.1 juta rakyat telah menebusnya, membabitkan jumlah perbelanjaan mencecah hampir RM780 juta.

Kadar penebusan tinggi dalam tempoh singkat tersebut membuktikan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif berkenaan. Sekali gus mencerminkan keperluan rakyat kepada bantuan bersasar disediakan kerajaan dalam usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Situasi itu mendorong kerajaan memberi fokus kepada reformasi fiskal dan penyasaran subsidi bagi memastikan segala peruntukan disalurkan secara optimum kepada golongan sasar.

Penyasaran subsidi diesel dan petrol misalnya, berjaya memberikan penjimatan yang kemudian diagihkan semula kepada program bantuan rakyat termasuk peningkatan peruntukan bantuan tunai.

Peruntukan bantuan tunai SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah mencecah kira-kira RM15 bilion menunjukkan peningkatan berbanding peruntukan bantuan kerajaan terdahulu.

Walaupun pelaksanaan penyasaran subsidi agak mencabar khususnya dalam mendepani reaksi serta penerimaan rakyat, kerajaan berpendirian ia masih mekanisme terbaik untuk diteruskan.

Kerajaan terpaksa memilih untuk akur kepada realiti dan berani menyasarkan subsidi di setiap peringkat secara berfasa, tanpa menjejaskan kebajikan rakyat — satu tindakan yang tidak banyak negara berani mengambil risiko untuk mengguna pakai pendekatan tersebut.

Hasilnya, penyasaran subsidi berjaya melindungi 85 peratus rakyat Malaysia serta menjimatkan RM6 bilion bagi petrol dan RM5 bilion bagi diesel.

Atas faktor itu, Kerajaan tidak memilih pendekatan pengapungan harga seperti disaran Bank Dunia dan beberapa pakar ekonomi kerana ia hanya akan membebankan majoriti rakyat.

Sekiranya harga diapungkan, dianggarkan hanya keluarga berpendapatan kira-kira 13-ribu ringgit sebulan dan ke atas tidak menerima bantuan, manakala selebihnya akan diberikan bantuan.

Apa pun pendekatan yang diguna pakai kerajaan, keutamaan akan terus diberi kepada usaha menjaga kebajikan rakyat. Inisiatif yang diperkenal akan dipastikan memberi pelbagai manfaat serta disalurkan semula kepada rakyat bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

Manakala, rakyat pula diharap dapat terus meningkatkan keupayaan dan disiplin kendiri serta melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sepenuh hati. Semoga Ramadan kali ini membawa seribu rahmah dan keberkatan buat kita semua, selain memperkukuh perpaduan dan menyemarakkan semangat saling membantu antara satu sama lain.

Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Haslinda Hassan.