
ULASAN BERITA
- Konflik Amerika-Israel-Iran menaikkan risiko perang lebih luas di Asia Barat dan beri kesan berpanjangan.
- Perang mungkin tidak cepat berakhir kerana isu nuklear dan kepentingan geopolitik berlarutan.
- Gangguan di Selat Hormuz boleh menaikkan harga minyak global dan menjejaskan bekalan tenaga Asia.
- Kesan kepada Malaysia termasuk kos penghantaran meningkat dan rantaian bekalan komponen elektronik terjejas.
- Penerbangan antarabangsa terpaksa ubah laluan, tambah penggunaan bahan api dan masa perjalanan.
- Ketidaktentuan geopolitik tekanan kepada pasaran kewangan, nilai ringgit dan aliran modal.
- Kerajaan perlu pantau geopolitik, lindungi rakyat di luar negara dan kawal maklumat bagi kekalkan kestabilan domestik.
Serangan Amerika Syarikat dan Rejim Zionis Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu, serta serangan balas Tehran terhadap kedudukan Amerika di negara-negara jiran, kini meningkatkan risiko konflik lebih luas di Asia Barat.
Ketegangan memuncak selepas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, terbunuh pada 28 Februari lalu dalam serangan peluru berpandu dan udara Amerika-Israel yang menyasarkan kompleks kepimpinannya di Tehran.
Kini timbul persoalan besar sejauh mana konflik ini memberi kesan kepada perdagangan global termasuk Malaysia dan berapa lama ia akan berlarutan?
Kerana pakar berpandangan perang mungkin tidak akan berakhir dalam masa singkat berikutan pelbagai faktor antaranya isu nuklear Iran.
Di Washington, Dewan Senat Amerika Syarikat tidak menyekat operasi ketenteraan Presiden Donald Trump terhadap Iran, selepas resolusi itu ditolak dengan undian 53 berbanding 47.
Ibarat teori domino, konflik ribuan kilometer dari Malaysia boleh memberi kesan signifikan kepada kehidupan harian rakyat apabila ekonomi global tidak menentu.
Apa lagi jika tiada campur tangan kerajaan, harga barang dan perkhidmatan boleh melambung tinggi, kadar inflasi meningkat, kerjasama perdagangan terganggu dan pergerakan manusia terbatas.
Itulah realiti apabila ketegangan di Asia Barat semakin memuncak.
Setakat 5 Mac, serangan berterusan Amerika-Israel di bumi Iran terus meningkatkan ketegangan di rantau itu.
Sekurang-kurangnya 1,045 orang terbunuh sejak Sabtu lalu selain operasi ketenteraan Israel di Lubnan.
Trump memberi amaran operasi ketenteraan itu dijangka berterusan sehingga empat hingga lima minggu, namun tidak menolak kemungkinan ia berlanjutan lebih lama.
Kesan konflik itu kini turut dirasai di pasaran tenaga global.
Ketegangan yang semakin memuncak menyebabkan kapal kargo mula mengelak laluan penting Selat Hormuz selepas Iran mengumumkan penutupan laluan strategik itu.
Selat Hormuz merupakan antara laluan tenaga paling penting di dunia. Dianggarkan sekitar 20 juta tong minyak sehari, atau hampir 20 peratus penggunaan minyak global, melalui laluan itu.
Negara Asia paling terdedah kepada gangguan di selat berkenaan. Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), 80 peratus minyak dan hampir 90 peratus gas yang melalui Selat Hormuz dihantar ke pasaran Asia.
Sebagai contoh, China, pengimport minyak terbesar dunia, bergantung hampir separuh bekalan minyaknya daripada negara Teluk, manakala India pula sangat bergantung kepada minyak dari Iraq dan Arab Saudi.
Jika laluan itu terganggu dalam tempoh yang lebih lama, bekalan tenaga global boleh terjejas teruk dan harga minyak dunia berpotensi melambung lebih tinggi.
Keadaan ini memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi Malaysia yang banyak bergantung kepada perdagangan global.
Eksport terbesar Malaysia ialah sektor barangan elektrik dan elektronik, yang menyumbang lebih 35 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
Produk seperti semikonduktor dan komponen elektronik Malaysia banyak dihantar ke pasaran utama termasuk China, Amerika Syarikat dan Eropah.
Namun dengan laluan perdagangan global terganggu, kos penghantaran boleh meningkat dan rantaian bekalan dunia juga boleh terjejas.
Ketegangan di Asia Barat juga memberi kesan kepada sektor penerbangan dunia.
Baru-baru ini, dua pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan antarabangsa terpaksa mengubah laluan berikutan ketegangan di ruang udara sekitar Iran.
Penerbangan MH160 dari Kuala Lumpur ke Doha berpatah balik ke Kuala Lumpur, manakala MH156 ke Jeddah dilencongkan ke Chennai, India.
Keadaan ini menyebabkan laluan penerbangan menjadi lebih panjang, penggunaan bahan api meningkat dan tempoh perjalanan lebih lama.
Wisma Putra pada Khamis turut menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke negara-negara terjejas termasuk mereka yang berhasrat menunaikan umrah dan ziarah.
Selain itu, sektor kargo udara juga boleh terjejas, terutama penghantaran komponen elektronik bernilai tinggi.
Dalam masa sama, ketidaktentuan geopolitik global turut memberi kesan kepada pasaran kewangan.
Dalam keadaan krisis, pelabur biasanya beralih kepada aset selamat seperti dolar Amerika sekali gus memberi tekanan kepada mata wang negara termasuk ringgit.
Menurut Bank Negara Malaysia, ketidaktentuan geopolitik global boleh mempengaruhi aliran modal antarabangsa serta turun naik nilai mata wang.
Persoalan utama sekarang bukan lagi tentang kesannya terhadap Malaysia.
Sebaliknya, berapa lama konflik ini akan berlarutan.
Langkah kerajaan kini penting bagi memastikan ketegangan di luar negara tidak menjejaskan kestabilan dalam negara.
Termasuk memantau perkembangan geopolitik, memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara, menyalurkan maklumat yang tepat kepada orang ramai serta mengawal penyebaran khabar angin yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Grace Aisyah Kedayan.