Gelombang protes memuncak, Presiden Bolivia isytihar darurat

Perintah darurat berkuat kuasa 90 hari, namun boleh ditamatkan lebih awal sekiranya keganasan dan ancaman terhadap orang awam dihentikan./REUTERS

LA PAZ, 21 Jun – Presiden Bolivia, Rodrigo Paz, mengisytiharkan darurat negara yang memberi kuasa kepada tentera untuk membuka sekatan jalan raya yang menjejaskan bekalan makanan dan bahan api di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan jalan di laluan utama selama beberapa minggu menyebabkan La Paz terputus dan protes menuntut peletakan jawatan Presiden susulan langkah penjimatan.
  • Kerajaan mengharamkan penyekatan jalan dan mengerahkan tentera membantu polis untuk membuka semula jalan serta melindungi orang awam.
  • Gelombang protes menyebabkan 365 ditahan, 37 cedera; banyak perniagaan tutup, rak pasar raya kosong dan beberapa hospital kekurangan oksigen.

Sekatan yang didirikan di laluan utama sejak beberapa minggu lalu telah menyebabkan ibu kota pentadbiran, La Paz, terputus daripada kawasan lain selepas gelombang protes menuntut Paz meletakkan jawatan susulan langkah penjimatan ekonomi yang dilaksanakannya.

Berucap kepada rakyatnya awal pagi Sabtu, Paz berkata sekatan antikerajaan itu bukan lagi satu bentuk bantahan sosial, sebaliknya percubaan tersusun untuk menggugat demokrasi Bolivia.

“Ini bukan darurat untuk menyekat kehidupan rakyat. Ini adalah darurat untuk mengembalikan kebebasan mereka,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Beliau berkata langkah itu diperlukan bagi memastikan bekalan bahan api dapat dipulihkan selepas sekatan jalan raya menyebabkan lori tangki minyak terkandas dan mengganggu rantaian bekalan.

Menurut kenyataan kerajaan, perintah darurat itu akan berkuat kuasa selama 90 hari, namun boleh ditamatkan lebih awal sekiranya keganasan dan ancaman terhadap orang awam dihentikan.

Dekri tersebut turut melarang sebarang tindakan menyekat jalan, lebuh raya dan laluan utama yang menjejaskan pengangkutan serta bekalan keperluan.

Ia juga mengarahkan angkatan tentera membantu polis secara sementara dalam usaha memulihkan ketenteraman, membuka semula jalan raya dan melindungi orang awam.

Sejak lima minggu lalu, Bolivia berdepan gelombang protes susulan langkah penjimatan yang diperkenalkan kerajaan, termasuk pemansuhan subsidi bahan api yang telah lama dinikmati rakyat.

Menurut pihak berkuasa, pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis antirusuhan telah mengakibatkan 365 individu ditahan manakala 37 lagi cedera.

Krisis berkenaan turut menyebabkan banyak perniagaan terpaksa ditutup, rak pasar raya kehabisan bekalan dan beberapa hospital dilaporkan berdepan kekurangan bekalan oksigen.

Pada Jumaat malam, Paz menandatangani perjanjian dengan salah satu kesatuan pekerja yang sebelum ini menggesa sekatan jalan raya dihentikan.

Namun, sebahagian penunjuk perasaan masih menuntut beliau meletakkan jawatan dan enggan berunding.

Sejak mengambil alih pemerintahan pada November lalu, Paz berjanji menyelesaikan masalah kekurangan bahan api yang berpanjangan serta mengukuhkan semula rizab bank pusat tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, langkah penjimatan yang dilaksanakannya, khususnya pemansuhan subsidi bahan api, telah meningkatkan tekanan inflasi, manakala beberapa pembaharuan ekonomi untuk menarik pelaburan asing masih tertangguh di Kongres.

Kumpulan masyarakat pribumi di kawasan tanah tinggi dan pekerja luar bandar yang mengetuai protes pula menuduh kerajaan mengabaikan keperluan mereka sejak Paz memegang jawatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.