
ULASAN BERITA
- Dilema antara rahmah kemanusiaan dan keselamatan negara memerlukan dasar seimbang.
- Populasi Rohingya besar; generasi lahir di Malaysia tanpa kewarganegaraan menimbulkan cabaran sosial dan pendidikan.
- Kemasukan haram, pemerdagangan manusia dan penempatan haram mencetus kebimbangan keselamatan dan kedaulatan.
- Kerajaan memperkenal sistem pendaftaran biometrik, saringan identiti dan sekatan kemasukan untuk kawal risiko keselamatan dan kos awam.
Antara keselamatan dan kepentingan negara, dengan pertimbangan kemanusiaan; isu berkaitan pelarian Rohingya di Malaysia menjadi perdebatan.
Sehingga kini, data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merekodkan, kira-kira 215 ribu pelarian dan pencari suaka berdaftar di Malaysia.
Daripada jumlah itu, lebih 193,000 berasal dari Myanmar, dengan lebih 123,000 merupakan etnik Rohingya, menjadikannya kumpulan pelarian terbesar berada di Malaysia, sejak kemasukan mereka bermula pada era 1970-an.
Meski Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, kerajaan selama ini membenarkan UNHCR mengurus pendaftaran pelarian yang masuk ke negara ini, atas rahmah kemanusiaan.
Namun, ia hadir dengan tanggungjawab lebih besar apabila melibatkan aspek keselamatan. Mutakhir ini, isu penempatan haram; pemerdagangan manusia; dan kos pengurusan etnik tersebut, menjadi perhatian dan membangkitkan kritikan.
Ia susulan beberapa insiden penangkapan etnik tersebut yang memasuki negara ini secara haram melalui sempadan perairan utara negara.
Lebih menghangatkan keadaan, sikap biadap sesetengah mereka dan didukungi NGO, cuba menuntut penempatan kekal di lokasi tertentu di Malaysia, sekali gus menyentuh aspek kedaulatan negara.
Itu tidak termasuk, penempatan haram yang dikesan di Langkawi, dan terbaharu di Hulu Langat, melibatkan penempatan besar-besaran sehingga memerlukan campur tangan pihak berkuasa.
Sementara kawasan yang sering dikaitkan dengan penempatan mereka termasuk Selayang, Ampang, Kajang dan Klang, menyebabkan kepadatan penduduk meningkat, serta mencetus pelbagai kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.
Turut menambah kegusaran rakyat, pertambahan populasi etnik Rohingya di Malaysia, bukan sahaja melalui kemasukan berdaftar, namun jumlah kelahiran generasi mereka tidak terkawal dan memerlukan perhatian pelbagai pihak.
Malah, selepas lebih lima dekad kehadiran komuniti Rohingya di Malaysia, apakah nasib generasi baharu yang lahir dan membesar di sini? Mereka bukan warga Malaysia.
Pada masa sama, mereka juga berdepan ketidakpastian untuk kembali ke negara asal.
Jika isu ini terus dibiarkan tanpa penyelesaian jangka panjang, ia berpotensi mewujudkan cabaran sosial, pendidikan dan ekonomi yang lebih kompleks pada masa hadapan.
Tidak dinafikan, mereka bergantung sepenuhnya kepada sistem bantuan kemanusiaan dengan kebanyakan bantuan datang dari UNHCR, NGO tempatan, dan NGO antarabangsa..
Namun harus diingat, Malaysia terpaksa menanggung kos tidak langsung apabila mereka turut bergantung kepada kemudahan awam negara, antaranya perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan
Itu tidak termasuk kos penguatkuasaan keselamatan melibatkan PDRM, Imigresen, APMM, dan RELA yang melaksanakan kawalan laut, rondaan sempadan dan operasi antipenyeludupan.
Bagai menghela rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan terserak. Hakikatnya, kerajaan berdepan dilema yang bukan mudah.
Terlalu berlembut mengundang pelbagai risiko keselamatan dan sosial. Terlalu tegas pula boleh mengundang kritikan daripada pertubuhan hak asasi dan masyarakat antarabangsa.
Justeru, keseimbangan antara kemanusiaan dan kepentingan nasional perlu terus menjadi asas dalam merangka dasar berkaitan pelarian di negara ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri baru-baru ini menegaskan, tiada kompromi dalam soal keselamatan negara.
Namun, pendekatan seimbang diambil bagi menangani isu pelarian Rohingya di Malaysia.
Sistem baharu pendaftaran pelarian diperkenalkan, selain pangkalan data diwujudkan dengan mengumpulkan data biometrik, saringan identiti dan penentuan status pelarian di Malaysia.
Malah langkah penyekatan kemasukan baharu turut dilaksanakan. Malaysia tidak wajar terus memikul risiko keselamatan akibat krisis pelarian Rohingya.
Sudah sampai masanya punca permasalahan etnik minoriti Rohingya ini diselesaikan sendiri oleh Myanmar, tanpa membebankan rakan serantau..
Jika tiada penyelesaian tuntas dicapai, rantau ini akan terus berdepan isu pelarian, pemerdagangan manusia dan cabaran keselamatan rentas sempadan yang sama, walaupun pelbagai langkah penguatkuasaan telah dilaksanakan.
Namun persoalannya, jika permasalahan atau konflik di Myanmar terus berlarutan, sampai bila dan sejauh mana Malaysia dan negara-negara serantau mampu menanggung risiko keselamatan, sosial dan ekonomi yang mungkin berpanjangan?
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Siti Salwa Yusop.