
ASHGABAT, 19 Jun – Kejayaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperoleh akses kepada telaga gas antara terbesar di dunia menerusi perjanjian yang dimeterai dengan kerajaan di Turkmenistan disifatkan pencapaian luar biasa dalam sektor tenaga negara.
- Perdana Menteri berkata perkembangan itu kukuhkan kedudukan antarabangsa PETRONAS.
- Pencapaian ini menjamin bekalan gas negara dan membolehkan Malaysia meneruskan eksport ke Jepun, Korea dan China.
- Kejayaan didorong rekod baik PETRONAS serta kerjasama berasaskan manfaat bersama yang memudahkan penerimaan Turkmenistan.
- Perjanjian utama ditandatangani termasuk Perkongsian Pengeluaran, kerjasama kajian seismik 2D, perjanjian kerahsiaan dan Rangka Kerja hidrokarbon.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu mengukuhkan lagi kedudukan firma minyak dan gas nasional itu di peringkat antarabangsa.
“Ini merupakan satu kejayaan luar biasa yang meletakkan PETRONAS sebagai antara pemilik telaga gas terbesar di dunia, khususnya di Turkmenistan. Saya percaya pencapaian ini dapat menjamin keupayaan negara untuk terus menguasai industri berkenaan.
“Ia sekali gus mengatasi kebimbangan berkaitan keperluan bekalan gas negara. Pada masa sama, ia membolehkan kita terus menjana eksport ke negara-negara yang selama ini menerima eksport Malaysia, termasuk Jepun, Korea, China dan beberapa negara lain,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke Turkmenistan.
Mengulas lanjut, kejayaan itu turut didorong rekod baik dan prestasi Petronas dalam membangunkan medan gas dan minyak di negara itu.
Malah, kerjasama berasaskan manfaat bersama telah memudahkan penerimaan Turkmenistan terhadap penglibatan P dalam kerjasama terbaharu itu.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Forum Turkmenistan-Malaysia sempena ulang tahun ke-30 kerjasama dua hala sektor minyak dan gas di Dewan
Perdagangan dan Industri Turkmenistan.
Perdana Menteri bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov turut menyaksikan Pemeteraian Perjanjian Perkongsian Pengeluaran, Perjanjian Kerjasama Kajian Seismik 2D dan Perjanjian Kerahsiaan antara PETRONAS dan pihak Turkmenistan.
Turut ditandatangani, Perjanjian Rangka Kerja antara Kerajaan Malaysia dan Turkmenistan melibatkan pembangunan jangka panjang sumber hidrokarbon.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan kalangan pegawai kanan.
Lawatan itu adalah lawatan rasmi yang pertama Datuk Seri Anwar ke Turkmenistan dan kali kelima dilakukan Perdana Menteri Malaysia.