
KUALA KANGSAR, 20 Jun – Memorandum persefahaman (MoU) perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran bakal memberi kesan positif kepada harga minyak negara, namun tempoh pemulihan bekalan minyak dijangka mengambil masa.
- Pemulihan ekonomi minyak dijangka ambil masa tiga hingga enam bulan kerana kos logistik, pengangkutan dan insurans perlu kembali normal.
- Kerajaan akan mempertimbangkan situasi semasa sebelum membuat keputusan dasar berkaitan pasaran minyak dan subsidi.
- Langkah kawal kos sara hidup termasuk mengekalkan harga RON95 di bawah program BUDI95.
- Kerajaan akan terus memantau perkembangan dan mengambil langkah sesuai bagi mengurangkan beban rakyat semasa tempoh pemulihan.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, proses pemulihan ekonomi tidak berlaku serta merta kerana mengambil masa antara tiga hingga enam bulan susulan beberapa faktor termasuk kos logistik, pengangkutan dan insurans yang memerlukan masa untuk kembali normal.
“Saya fikir dalam apa jua keputusan yang akan dibuat kerajaan, ia akan mengambil kira kedudukan serta keadaan semasa.
“Sekiranya keadaan kembali seperti sebelum ini, saya tidak melihat sebarang masalah untuk kita kembali kepada kedudukan asal atau status quo sebelum berlakunya perang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penghargaan Agensi-Agensi Kerajaan dan Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di Padang Rengas.
Ketika mengulas berkenaan penyelarasan kuota inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) Muhammad Kamil berkata, kerajaan akan menilai perkembangan semasa ekonomi negara sebelum membuat keputusan
sama ada untuk menaikkan atau mengekalkannya bergantung kepada keadaan semasa pasaran minyak global.
Dalam pada itu kerajaan terus komited memastikan rakyat tidak terbeban sepanjang tempoh pemulihan dengan terus memantau keadaan semasa dan mengambil langkah bersesuaian bagi mengawal kesan kenaikan kos sara hidup.
Antaranya dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bawah program BUDI 95 sekali gus membantu mengawal inflasi serta mengurangkan beban rakyat.