
Ulu Geruntum, Kuala Razila, di sini runtuh akibat kejadian kepala air/ JBPM
GOPENG, 20 Jun – Seramai 50 penduduk orang asli terkandas selepas jambatan utama di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila, di sini runtuh akibat kejadian kepala air pada petang Jumaat.
- Jambatan utama runtuh menyebabkan laluan keluar masuk kampung berkenaan terputus.
- Seramai 20 penduduk, termasuk kanak-kanak, bayi, warga emas dan ibu mengandung, terkandas di rumah tetapi dilaporkan selamat.
- 30 penduduk yang bekerja tidak dapat pulang ditempatkan sementara di sebuah resort; pemantauan agensi berkaitan dijalankan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 5.29 petang itu menyebabkan laluan keluar masuk kampung berkenaan terputus.
“Seramai 20 penduduk termasuk kanak-kanak, bayi, warga emas dan seorang wanita mengandung terkandas di rumah masing-masing.
“Namun, kesemua mereka dilaporkan selamat dengan bekalan makanan masih mencukupi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, 30 lagi penduduk yang keluar bekerja tidak dapat pulang ke kampung susulan jambatan berkenaan runtuh.
Mereka kemudiannya ditempatkan sementara di sebuah resort berhampiran sehingga keadaan kembali selamat.
Operasi pemantauan melibatkan JBPM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Daerah.
Operasi tamat pada pukul 8.55 malam selepas keadaan dilaporkan terkawal, walaupun paras sungai masih tinggi dan berarus deras.