
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Keupayaan rakyat menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) menjadi faktor paling kritikal dalam menentukan kejayaan Malaysia mencapai aspirasi sebagai negara AI menjelang tahun 2030.
- Infrastruktur dan modal penting, namun modal insan yang bersedia, yakin dan mudah menyesuaikan diri penentu kejayaan AI.
- Kerajaan perlu menyediakan hala tuju, rangka kerja dan persekitaran kondusif untuk galakan pelaburan AI.
- Perkasa bakat digital melalui kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat.
- Kesiapsiagaan AI mesti inklusif melibatkan pelajar, pekerja, usahawan serta PKS supaya tiada pihak tercicir.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata kejayaan dalam era AI tidak hanya bergantung kepada teknologi, atau pelaburan semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh sejauh mana rakyat bersedia mengaplikasikan teknologi itu dalam kehidupan dan pekerjaan harian.
Menurut beliau, AI tidak akan memberi impak kepada ekonomi sekiranya masyarakat tidak mempunyai kemahiran untuk menggunakannya secara berkesan.
“AI tidak menggerakkan ekonomi, tetapi individu yang tahu menggunakan AI yang akan menggerakkannya.
“Infrastruktur dan modal itu penting, namun faktor penentu sebenar ialah modal insan yang bersedia, yakin serta sentiasa menyesuaikan diri,” katanya berucap pada majlis pelancaran sebuah gerakan kesiapsiagaan AI di ibu negara, hari ini.
Tambah beliau, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri menerusi landskap ekonomi digital yang semakin berkembang, selain penglibatan aktif sektor industri dalam penggunaan teknologi berkenaan.
Menurutnya, usaha memperkasa bakat digital negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat bagi memastikan manfaat AI dapat dinikmati semua lapisan rakyat.
“Kerajaan boleh menetapkan hala tuju, menyediakan rangka kerja serta mewujudkan persekitaran kondusif untuk pelaburan, namun usaha melatih jutaan pekerja dan membudayakan pembelajaran berterusan memerlukan penglibatan semua pihak,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kesiapsiagaan AI tidak seharusnya terhad kepada golongan pakar teknologi, malah perlu melibatkan pelajar, pekerja, usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya tiada pihak tercicir dalam peralihan digital negara.