SYDNEY, 29 November - TikTok menyatakan kekecewaannya terhadap undang-undang baharu Australia yang melarang individu bawah 16 tahun menggunakan media sosial.
TikTok bimbang larangan terhadap penggunaan media sosial untuk individu bawah 16 tahun akan menyebabkan golongan muda mencari alternatif lain di platform yang tidak terkawal atau tidak selamat.
TikTok mendakwa kerajaan tidak mengambil kira pandangan pakar yang mencadangkan pendekatan lebih seimbang atau praktikal.
"Kerajaan telah mengabaikan nasihat pakar. Larangan ini berpotensi mendorong mereka mencari platform alternatif di "sudut gelap internet" – laman web atau platform yang tidak mempunyai peraturan, panduan keselamatan, atau perlindungan.
"Ini boleh meningkatkan pendedahan seperti kandungan berbahaya, penipuan, atau eksploitasi tanpa kawalan atau pemantauan yang mencukupi." katanya jurucakap TikTok.
Australia menjadi negara pertama di dunia untuk melarang kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun menggunakan media sosial berkuat kuasa pada penghujung tahun depan.
Undang-undang yang diluluskan parlimen pada Khamis (28 November) melarang kanak-kanak bawah umur daripada menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, dan X.
Seramai 34 senator mengundi menyokong manakala 19 menentangnya.
Namun, Dewan Perwakilan meluluskan undang-undang ini dengan sokongan 102 undi berbanding hanya 13 ahli parlimen yang menentang larangan itu. - AFP