(Calon Presiden, Ferdinand Marcos Jr melambai tangan kepada penyokongnya selepas mengundi
di Sekolah Rendah Memorial Mariano Marcos di Batac, Ilocos Norte pada May 9, 2022/AFP)
DAVAO, 9 Mei- Tiga pengawal keselamatan terbunuh apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke pusat pengundian di wilayah bergolak selatan Filipina ketika jutaan rakyat negara itu mengundi untuk memilih presiden dan kepimpinan baharu Filipina.
Kejadian itu berlaku sejurus proses pengundian dimulakan di kawasan perbandaran Buluan di Pulau Mindanao.
Bekas Datuk Bandar, Ibrahim Mangudadatu memberitahu AFP, orang ramai yang berada dalam sekolah yang dijadikan pusat pengundian berlari menyelamatkan diri sebaik tembakan didengar.
Menurut jurucakap polis wilayah Maguindanao, Mejar Roldan Kuntong, seorang pengawal keselamatan, iaitu mangsa ke empat dilaporkan cedera.
Terdahulu sembilan orang cedera dalam lima kejadian letupan bom tangan di luar wilayah bergolak selatan Filipina beberapa jam sebelum pusat pengundian pilihan raya dibuka.
Kejadian seumpama itu agak biasa di Filipina ketika tempoh pilihan raya, apatah lagi Manila tidak mengenakan undang-undang ketat senjata api selain budaya politik agak ganas.
Bagaimanapun polis berkata, pilihan raya kali ini agak aman.
Serangan berlaku lewat Ahad malam di Datu Unsay kawasan perbandaran di Pulau Mindanao; lokasi persembunyian utama beberapa kumpulan bersenjata dan serpihan militan.
Beberapa minit kemudian, letupan turut berlaku di kejiranan Shariff Aguak, namun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian.
Kedua-dua bandar itu terletak di wilayah Maguindanao.
Menurut polis, ketika kejadian mangsa berjalan kaki dari kediaman mereka di kawasan pergunungan agak terpencil ke pusat pengundian yang dijadual dibuka seawal 6.00 pagi sehingga 7.00 malam di seluruh kepulauan itu.
“Menjadi kebiasaan mereka keluar awal dari kampung, berjalan kaki antara lapan hingga 12 jam perjalanan,” kata jurucakap polis wilayah, Mejar Roldan Kuntong.
(Orang ramai mengundi di sebuah gereja kecil yang dijadikan pusat pengundian pilihan raya presiden
di Quezon City, Manila pada 9 Mei 2022/AFP)
Pada 2009, Maguindanao menjadi lokasi maut dalam sejarah keganasan politik di negara itu.
58 orang telah dibunuh secara beramai-ramai oleh seorang lelaki bersenjata yang didakwa bekerja dengan seorang panglima perang tempatan.
Suspek menyerang sekumpulan penduduk untuk menghalang mereka daripada menyokong pencalonan pesaing dalam pilihan raya. Belasan yang maut adalah wartawan yang membuat liputan dalam pilihan raya tersebut.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya berkata pihaknya cuba mengesahkan sama ada letupan bom pada tengah malam Ahad itu ada kaitan dengan pilihan raya atau sebaliknya.
Calon yang disebut-sebut akan menang, calon Timbalan Presiden, Sara Duterte yang juga merupakan bekas Datuk Bandar Davao City memberitahu pemberita bahawa dia berharap pengundi tidak akan "berputus asa" susulan keganasan itu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan bagi merebut lebih 18,000 jawatan daripada Presiden sehingga Ahli Majlis Perbandaran.
Anak lelaki bekas pemimpin diktator, Ferdinand Marcos Junior diramal akan memenangi calon presiden sekali gus mengembalikan keluarga ke puncak kuasa politik.
Sebanyak 10 calon bersaing untuk menggantikan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Pilihan raya itu juga dilihat kebanyakan pihak sebagai sebagai penentu kepada demokrasi Filipina. –AFP