
KUALA LUMPUR, 2 September – Pelari pecut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka menebus kekecewaan dalam acara 100 meter (m) semalam apabila merangkul pingat emas 200m wanita pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, hari ini.
- Mencatat 24.76 saat di Arena Universiti Malaya, mengukuhkan penguasaan UPSI dalam acara pecut wanita.
- Sebelum itu beliau meraih pingat perak 100m dengan catatan 12.13s pada hari sebelumnya.
- Mengakui tidak cukup bersedia sepenuhnya, beliau bangga dengan semangat juang rakan sepasukan yang memotivasinya.
Beraksi di Arena Universiti Malaya (UM), Nurul Wardatul mencatat masa 24.76 saat (s) untuk muncul juara, sekali gus mengukuhkan penguasaan UPSI dalam acara pecut wanita.
Kejayaan itu menyusul selepas rakan sepasukannya, Fatin Ilyana Mat Nayan, terlebih dahulu mengungguli acara 100m wanita semalam.
Nurul Wardatul mengakui kemenangan itu cukup bermakna selepas beliau sekadar meraih pingat perak dalam acara 100m dengan catatan 12.13s pada hari sebelumnya.
“Saya rasa badan belum cukup bersedia sepenuhnya untuk acara 200m kerana hampir empat bulan tidak bertanding dalam acara individu dan hanya menyertai acara lari berganti-ganti bersama skuad kebangsaan.
“Namun, saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini kerana berjaya menghasilkan catatan terbaik musim ini,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Menurutnya, semangat juang yang ditunjukkan rakan sepasukan turut menjadi pembakar semangat untuk bangkit dan memberikan aksi terbaik dalam acara 200m.
“Saya sangat bangga dengan semangat juang rakan sepasukan. Itu yang memberikan motivasi kepada saya untuk mengekalkan momentum dalam acara 200m bagi menebus kekalahan semalam,” katanya.
Catatan 24.76s itu turut menyamai rekod terbaik musim miliknya yang dilakar pada Varsity Track & Field (VTF) 2026 Siri 1 di Pulau Pinang sebelum ini.