
IPOH, 26 September – Seorang lelaki berusia 19 tahun mengalami kecederaan selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar daging di sebuah kilang ayam di Kawasan Perindustrian Ringan Bercham 10, Ipoh, hari ini.
- Pasukan BBP Ipoh menerapkan konsep SAVER dan menggunakan peralatan khas untuk memisahkan serta memotong bahagian mesin.
- Pasukan perubatan KKM memberi rawatan dan kawalan kesakitan kepada mangsa sepanjang operasi.
- Tangan mangsa tidak dikeluarkan sepenuhnya kerana acuan mata pengisar dari stainless steel, mangsa dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh menerima panggilan kecemasan sebelum tiba di lokasi pada pukul 4.48 petang dan mendapati mangsa masih sedar, namun mengalami kesakitan akibat tangan yang masih tersepit dalam mesin berkenaan.
Ketua Operasi, PBK I Muzaidi Mohamad bersama lapan anggota kemudian menjalankan penilaian situasi dan menggunakan konsep ‘SAVER’ dengan bantuan peralatan khas bagi memisahkan serta memotong bahagian mesin.
Pasukan turut mendapatkan bantuan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi bagi memberikan rawatan serta mengawal kesakitan mangsa sepanjang operasi.
Bagaimanapun, tangan mangsa tidak berjaya dikeluarkan sepenuhnya berikutan bahagian acuan mata pengisar diperbuat daripada keluli tahan karat, selain keadaan mangsa yang semakin lemah.
Susulan perbincangan dengan pasukan KKM, mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi tamat pada pukul 6.30 petang.
Operasi melibatkan sebuah jentera FRT dan lapan anggota BBP Ipoh.