Pelajar 16 tahun ditahan bantu siasatan kematian remaja dibuli di asrama

Datuk Seri Fadhlina Sidek hadir menziarahi keluarga mangsa/Foto BERNAMA

SEREMBAN, 26 September – Polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri di asrama sekitar pukul 8 malam dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan; polis meneliti fakta dan bukti untuk mengenal pasti punca serta motif.
  • PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan yang boleh menjejaskan siasatan.
  • Menteri Pendidikan menziarahi keluarga; KPM beri kerjasama penuh, teliti keselamatan sekolah dan sediakan kaunseling serta sokongan psikologi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan, tangkapan dibuat susulan kematian Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pihak polis kini sedang meneliti keseluruhan fakta dan bukti berkaitan kejadian bagi mengenal pasti punca serta motif sebenar insiden. PDRM memandang serius sebarang bentuk keganasan membabitkan pelajar, lebih-lebih lagi yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Siasatan akan dijalankan secara profesional dan menyeluruh berasaskan bukti bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas kronologi kejadian, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri di asrama berkenaan kira-kira pukul 8 malam Jumaat sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Mayat Allahyarham kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban bagi proses bedah siasat.

Dalam pada itu, PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, termasuk menularkan sebarang kandungan berkaitan kejadian yang boleh menjejaskan siasatan serta sensitiviti keluarga mangsa.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek juga hadir menziarahi keluarga mangsa.

Beliau dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah serta rasa dukacita yang mendalam atas pemergian pelajar berkenaan.

Beliau memberi jaminan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan PDRM dan menegaskan tiada mana-mana pihak akan dilindungi sekiranya terbukti berlaku salah laku.

“Aspek keselamatan dan pemantauan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh di peringkat kementerian. Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa akan diambil berdasarkan hasil siasatan kelak.

“KPM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa serta warga sekolah yang terkesan,” tegasnya.

Kamaruddin Ngatimon,bapa saudara kepada Muhammad Idlan Fareeq Shahril, pelajar Tingkatan Dua yang maut di sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah semalam, menunjukkan gambar anak saudaranya/Foto BERNAMA

Dalam pada itu, bapa saudara mangsa, Kamaruddin Ngatimon, 49, menyifatkan pemergian anak sulung daripada tiga beradik itu sebagai satu kehilangan besar dan meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh ahli keluarga.

“Muhammad Idlan seorang anak yang sangat baik dan penyayang. Dia sentiasa mengambil berat serta memanjakan adik-adiknya,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik HTJ.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.