Seorang pelajar ditahan bantu siasatan kes kematian di asrama

Foto Fail BERNAMA

SEREMBAN, 26 September – Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar berusia 14 tahun di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Mangsa dilaporkan cedera, dibawa ke Hospital Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.
  • Polis nasihatkan orang ramai jangan membuat spekulasi atau sebarkan maklumat tidak disahkan.
  • Menteri Pendidikan arah Jemaah Nazir jalankan audit segera; KPM beri kerjasama penuh dan sediakan kaunseling serta sokongan psikososial.

Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kami sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian.

“Keutamaan adalah memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, mangsa dipercayai cedera sebelum dibawa ke Hospital Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.

Polis memandang serius sebarang kejadian keganasan membabitkan pelajar, khususnya yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar terbabit.

Dalam perkembangan sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, audit itu bagi meneliti aspek keselamatan dan pematuhan tatacara, termasuk mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan.

“Tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang.

“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Datuk Seri Fadhlina turut memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak sekolah akan memberi kerjasama penuh kepada polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.

KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling serta sokongan psikososial kepada keluarga mangsa dan warga sekolah yang terkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.