
KUALA LUMPUR, 2 September – Jaguh pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee terus mempamerkan larian bertenaga apabila berjaya meleburkan rekod temasya dalam acara 200 meter (m) lelaki pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, petang tadi.
- Danish raih emas 200m dengan catatan 20.77s, memadam rekod lama 21.11s yang dipegang sejak 2016.
- Lengkapkan emas berganda selepas dominasi acara 100m; catatan 20.77s juga terbaik musim ini berbanding 20.85s.
- Hanya 0.04s ketinggalan dari rekod kebangsaan 20.73s; Danish bersyukur dan fokus pada proses tanpa tekanan.
Kejayaan yang dilakar di Arena Universiti Malaya (UM) itu sekali gus menyaksikan atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut melengkapkan kejayaan emas berganda selepas turut mendominasi acara 100m, semalam.
Danish, mencatatkan masa 20.77 saat (s) untuk merangkul emas, sekali gus memadam rekod lama 21.11s yang dipegang atlet HELP, Aravinn Thevarr sejak tahun 2016.
Catatan terbaharu itu juga merupakan pencapaian terbaik musim ini buat Danish, mengatasi rekod 20.85s yang dicatatnya pada Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini.
Malah, keputusan itu hanya dibezakan 0.04s daripada rekod kebangsaan miliknya sendiri, 20.73s yang dilakukan pada tahun lalu.
Mengulas mengenai kemenangannya, Danish menzahirkan rasa syukur atas prestasi konsisten yang ditunjukkannya sepanjang temasya.
“Saya sangat bersyukur kerana dapat memperbaharui catatan terbaik musim. Saya percaya pada proses dan diri sendiri untuk memberikan yang terbaik buat UPSI, diri sendiri dan keluarga,” katanya ketika ditemui selepas aksi saingan akhir 200 meter di sini.
Tambah beliau, meskipun mempunyai impian untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara berkenaan, beliau enggan membiarkan tekanan tersebut mengganggu tumpuannya.
“Insya-Allah, cita-cita untuk memecahkan rekod peribadi yang juga rekod kebangsaan memang ada. Saya berserah kepada rezeki dan buat masa ini, saya hanya mengikut perancangan serta proses yang ditetapkan,” jelasnya lagi.
Dalam saingan akhir itu, dominasi UPSI jelas terserlah apabila rakan sepasukannya, Aiman Ikhwan Yahya meraih pingat perak dengan catatan 21.39s.
Pingat gangsa pula milik atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Muhammad Haziq Muhammad Akhir yang merekodkan masa 21.43s.