
GURUN, 26 September – Lebih 5,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Majlis Jamuan Rakyat bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang ke-84.
- Majlis diadakan di perkarangan Sekolah Kebangsaan Jeniang Pusat, suasana meriah dan ramah.
- Keberangkatan Sultan disambut penuh kegembiraan oleh hadirin, menambah kemeriahan majlis.
- Hidangan kenduri disediakan termasuk sajian istimewa hasil lima ekor lembu.
- Acara kebudayaan, nyanyian, tarian pelajar serta permainan tradisi congkak menghidupkan warisan dan nostalgia.
Majlis meriah tersebut berlangsung di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeniang Pusat, di sini.
Keberangkatan tiba Sultan Kedah kira-kira pukul 11:28 pagi disambut penuh gembira oleh ribuan rakyat yang mula memenuhi kawasan majlis seawal pukul 8 pagi.
Selain dihidangkan dengan pelbagai juadah kenduri enak termasuk sajian istimewa daripada lima ekor lembu yang disediakan khas, suasana majlis turut diserikan dengan pelbagai acara kebudayaan.
Para hadirin dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Badan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah serta persembahan tarian susunan pelajar sekolah tempatan.
Bagi menyemarakkan lagi warisan tradisi, ruang permainan tradisional seperti congkak turut disediakan untuk mengimbau kembali nostalgia permainan zaman dahulu.
Peluang beramah mesra serta bersalaman dengan Sultan Kedah sebelum Baginda berangkat pulang menjadi kenangan paling manis buat seluruh rakyat yang hadir.