Penganjur Sukan Asia tidak puas hati jualan tiket

Foto BERNAMA

NAGOYA, 26 September – Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya mengakui tidak berpuas hati dengan jualan tiket selepas banyak tempat duduk kosong dilihat di stadium utama dan beberapa venue lain di Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kurang 60 peratus tiket bagi lapan jenis sukan telah terjual, termasuk banyak tiket majlis penutupan masih belum terjual.
  • Banyak tempat duduk kosong walaupun lebih 90 peratus tiket pembukaan terjual, disebabkan penonton tidak hadir.
  • Tiket diperuntukkan kepada penaja dan pihak berkepentingan tidak semuanya digunakan, menyumbang kepada kerusi kosong.
  • AINAGOC memohon maaf atas masalah penginapan dan pengangkutan; 17,000 peserta alami kekurangan bilik, kelewatan dan tempoh menunggu panjang.

Stadium Olahraga Taman Mizuho yang berkapasiti 30,000 penonton dilaporkan hanya dipenuhi kira-kira satu perempat pada Jumaat malam ketika berlangsungnya acara 100 meter, antara tarikan utama temasya berkenaan.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur Sukan Aichi-Nagoya (AINAGOC), Satoshi Murate berkata, kurang 60 peratus tiket bagi lapan jenis sukan, termasuk bola sepak, telah terjual.

Jumlah sama juga masih belum terjual bagi majlis penutupan yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh lapan hari lagi.

“Kami tidak berpuas hati. Kami akan terus berusaha memenuhi stadium, menjual tiket dan memastikan mereka yang sudah mendapatkan tempat duduk benar-benar hadir,” katanya.

Murate berkata, lebih 90 peratus tiket untuk majlis pembukaan seminggu lalu telah terjual, namun banyak tempat duduk kosong berpunca daripada penonton yang tidak hadir.

Menurutnya, antara faktor lain ialah beberapa sesi membabitkan beberapa perlawanan dalam sehari menyebabkan penonton hanya memberi tumpuan kepada perlawanan utama.

Tiket yang diperuntukkan kepada pihak berkepentingan seperti penaja juga tidak semuanya digunakan.

Sementara itu, Murate turut memohon maaf atas masalah penginapan dan pengangkutan yang dihadapi beberapa kontinjen sepanjang temasya berlangsung.

Sebanyak 17,000 peserta berdepan kekurangan bilik penginapan, selain kelewatan di lapangan terbang dan tempoh menunggu yang panjang untuk menaiki kapal persiaran Costa Serena yang digunakan sebagai hotel terapung.

AINAGOC juga berdepan kritikan berhubung perkhidmatan pengangkutan yang tidak menentu, termasuk bas peserta ke lokasi latihan dan pertandingan yang lewat atau tidak tiba.

“Walau apa pun puncanya, AINAGOC bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan tersebut dan saya dengan tulus memohon maaf atas kesilapan yang berlaku,” katanya.

Tiada perkampungan atlet tradisional dibina bagi temasya kali ini sebagai langkah mengurangkan kos, menyebabkan peserta ditempatkan di penginapan sementara, hotel serta kapal persiaran. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.