ISAM rangka pelan inisiatif menyeluruh, perkasa skuad Bayu Blades

Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) Datuk Fadzli Johan / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 18 Oktober – Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) merangka pelan inisiatif menyeluruh bagi memperkasakan skuad kebangsaan yang baharu ditubuhkan, Bayu Blades susulan pengenalan disiplin luncur ais berpasukan, Synchro9, buat julung kalinya pada temasya Sukan SEA 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dapatkan khidmat jurulatih luar melalui ISU, digandingkan dengan jurulatih tempatan untuk program latihan berperingkat dan berprestasi tinggi.
  • Jurulatih import dijangka tiba Januari 2027 dan memulakan fasa latihan sembilan bulan, enam hari seminggu.
  • Pembangunan akar umbi bagi persiapan jangka panjang; sasaran satu pingat emas untuk memperkuat kontinjen negara.

ISAM turut mengambil langkah proaktif dengan mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman dari luar negara menerusi perbincangan bersama Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU) bagi memastikan skuad sulung ini mampu bersaing di tahap tertinggi.

Presiden ISAM, Datuk Fadzli Johan berkata, pengendali import terbabit bakal digandingkan dengan barisan jurulatih tempatan bagi melatih skuad Bayu Blades melalui program latihan berperingkat dan berprestasi tinggi selama enam hari seminggu.

“Setakat ini kita mempunyai tiga cadangan jurulatih iaitu dari Sepanyol, Jepun dan Kanada dengan calon dari Kanada dilihat amat berpengalaman.

“Jurulatih import ini dijangka tiba seawal Januari 2027 bagi memulakan fasa latihan selama sembilan bulan” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Stadium Luncur Ais Kebangsaan Malaysia (MYNISS) di sini, hari ini.

Menyentuh aspek pembangunan jangka panjang, beliau menegaskan pembentukan Bayu Blades dari peringkat akar umbi merupakan inisiatif berterusan yang melangkaui temasya dwi-tahunan tersebut.

“Atlet yang dipilih ini berada pada usia tepat untuk terus dibimbing bukan sahaja bagi Sukan SEA 2027, malah dipersiapkan untuk melangkah ke Youth Winter Olympic 2028, Asian Winter Games 2029 dan kemuncaknya Winter Olympic 2030.

“Dengan segala perancangan rapi ini serta kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, kita meletakkan sasaran satu pingat emas buat skuad Synchro9 bagi membantu kontinjen negara merealisasikan impian muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2027,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.