Synchro9 bakal diperkenal pada Sukan SEA 2027

Foto RTM

PETALING JAYA, 18 Oktober – Disiplin luncur ais berpasukan, Synchro9, bakal diperkenalkan buat julung kalinya pada temasya Sukan SEA 2027 menerusi pembentukan skuad luncur ais kebangsaan, Bayu Blades sekali gus membuka lembaran baharu buat sukan musim sejuk negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • ISAM menyahut format baharu ISU: Synchro9 menggunakan sembilan peluncur dan seorang atlet simpanan, menjadikan acara lebih menarik dan dinamik.
  • Program Bayu Blades membuka peluang atlet solo belajar bekerjasama, meneroka potensi berpasukan dalam luncur ais negara.
  • Sesi pemilihan tujuh minggu di MYNISS melibatkan kira-kira 40 peluncur; 30 terawal disenarai pendek ke Kumpulan Bakat Kebangsaan.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Sukan Ais Malaysia (ISAM), Azrina Abdul Rahman berkata, inisiatif itu menyahut cabaran Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU) yang memperkenalkan format baharu dengan hanya sembilan peluncur dan seorang atlet simpanan, menjadikannya lebih menarik dan dinamik.

“Sukan ini memberi peluang kepada atlet tempatan yang selama ini beraksi secara solo untuk belajar bekerjasama dan meluncur sebagai satu pasukan.

“Ia satu dinamik yang amat berbeza dan kita mahu meneroka potensi ini memandangkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pemilihan skuad Synchro9 di Stadium Luncur Ais Kebangsaan Malaysia (MYNISS) di sini, hari ini.

Jelas Azrina, disiplin itu turut membuka lembaran baharu buat atlet tempatan yang selama ini hanya tertumpu kepada acara individu seperti luncur ais berbunga (Figure Skating) dan luncur laju laluan pendek (short track speed skating).

Pembangunan Bayu Blades dibahagikan kepada skuad remaja (kelahiran 29 Januari 2010 hingga 15 Januari 2013) dan skuad senior (kelahiran pada atau sebelum 30 Jun 2010), dengan 30 peluncur terawal yang layak akan disenarai pendek ke Kumpulan Bakat Kebangsaan.

Sesi pemilihan kini giat berlangsung selama tujuh minggu, menyaksikan sambutan positif kira-kira 40 peluncur termasuk kepulangan 11 bekas atlet senior.

“Kami sangat gembira melihat peluncur-peluncur lama kembali bersemangat untuk beraksi apabila mengetahui adanya acara berpasukan dan laluan ke temasya besar seperti Sukan SEA dan Olimpik.

“Bagi kategori junior pula, sekitar 30 peluncur muda turut berminat walaupun mereka tidak pernah meluncur secara berkumpulan sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, program pembangunan yang dikendalikan ISAM dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bukan sahaja memberi fokus kepada Sukan SEA, malah menyasarkan Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk 2028 di Itali serta Sukan Olimpik Musim Sejuk 2030 di Perancis.

Kini, persediaan teknikal skuad negara dibimbing pemenang emas Sukan SEA, Fang Ze Zeng bersama jurulatih Michelle Asha Shepherdson dan Ketua Pasukan, Shazfinas Hashim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.