
KUALA LUMPUR, 26 September – Kejohanan Goalball Terbuka Piala Wilayah Persekutuan 2026 menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan atlet cacat penglihatan sebagai persediaan menghadapi Sukan Para ASEAN 2027.
- MPM berharap pasukan Goalball Malaysia kembali cemerlang dan menyumbang pingat seperti kejayaan pada 2017.
- Kejohanan disertai 10 pasukan lelaki, empat pasukan wanita melibatkan hampir 100 atlet cacat penglihatan.
- MPM akan menganjurkan program sukan khusus untuk orang buta tahun depan selepas kelulusan Kementerian Belia dan Sukan, memberi kesedaran tentang sembilan jenis sukan.
Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Subramaniam Raman Nair berkata, kejohanan anjuran Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) itu memberi peluang kepada golongan berkenaan, khususnya pelajar sekolah pendidikan khas, untuk menonjolkan potensi dan bakat dalam sukan goalball.
“Sukan goalball akan dipertandingkan pada Sukan Para ASEAN tahun hadapan apabila kita menjadi tuan rumah. Jadi, kejohanan ini adalah satu cara untuk menambah jumlah atlet baharu dalam sukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan di Kompleks Sukan Datuk Keramat, hari ini.
Datuk Subramaniam berkata, MPM menaruh harapan tinggi agar pasukan Goalball Malaysia kembali cemerlang dan mampu menyumbang pingat kepada negara sebagaimana kejayaan yang pernah dicapai pada 2017.
Kejohanan yang berlangsung sejak 23 September itu menyaksikan penyertaan 10 pasukan lelaki dan empat pasukan wanita, membabitkan hampir 100 atlet cacat penglihatan yang bersaing merebut gelaran juara.
Sementara itu, beliau berkata MPM akan menganjurkan program sukan khusus untuk golongan orang buta pada tahun hadapan selepas mendapat kelulusan Kementerian Belia dan Sukan.
“Kita nak beri kesedaran kepada orang-orang buta di Malaysia bahawa mereka boleh bermain macam-macam jenis sukan. Ada sembilan jenis sukan,” katanya.