
SHAH ALAM, 2 September – Selepas kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan kutipan 101 pingat emas, kini giliran atlet Para SUKMA Selangor membuktikan keupayaan masing-masing pada temasya Para SUKMA 2026.
- Kejayaan SUKMA dijadikan penanda aras dan motivasi kepada atlet Para untuk beraksi terbaik, bukan sebagai tekanan.
- Pengurusan atlet Para kini diselaraskan di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor, memastikan sokongan latihan, penajaan, peralatan dan logistik setara.
- Selangor menyasarkan 60 pingat emas pada Para SUKMA 2026, berlangsung 5 hingga 10 September di Petaling dan Klang, melibatkan 369 acara dan 10 sukan.
Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kejayaan kontinjen SUKMA menjadi penanda aras dan cabaran kepada atlet para untuk memberikan prestasi terbaik pada temasya kali ini.
Menurutnya, pencapaian berkenaan bukan untuk memberi tekanan, sebaliknya menjadi motivasi kepada atlet para membuktikan kemampuan mereka di pentas yang sama.
“Kita mengharapkan atlet Para SUKMA Negeri Selangor dapat memberikan prestasi terbaik dan meletakkan penanda aras susulan kejayaan rakan-rakan mereka dalam SUKMA yang baru sahaja muncul juara keseluruhan.
“Sudah tentu perkara ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada mereka, namun pada masa sama ia menjadi cabaran untuk membuktikan keupayaan dan kelebihan masing-masing.
“Ini juga merupakan kali pertama atlet Para SUKMA Negeri Selangor diurus dan diselaraskan secara terus di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor,” katanya kepada media hari ini, pada program pusingan akhir Liga Usahawan Eksport Selangor (SAY Aspire) di Subang Jaya.
Pertemuan bersama atlet Para SUKMA Selangor akan diadakan bagi menyuntik semangat dan motivasi menjelang temasya itu.
Najwan berkata, pengurusan atlet para kini diselaraskan secara terus di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), berbanding sebelum ini yang diletakkan di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri.
Katanya, pendekatan baharu itu turut menekankan penyamarataan sokongan kepada atlet para merangkumi aspek latihan, penajaan, keperluan peralatan serta logistik.
Langkah itu bagi memastikan atlet para mendapat layanan yang sama, adil dan setara dengan atlet lain dalam usaha mencapai prestasi terbaik.
Selangor menyasarkan 60 pingat emas pada Para SUKMA 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 10 September ini di daerah Petaling dan Klang.
Temasya berkenaan mempertandingkan 369 acara melibatkan 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.