
SUBANG JAYA, 2 September – Kerajaan Selangor meningkatkan pemantauan keadaan jerebu di beberapa kawasan negeri itu, khususnya Petaling dan Klang, bagi memastikan kesihatan serta keselamatan atlet tidak terjejas sepanjang penganjuran Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026.
- Tindakan akan diambil jika keadaan jerebu memburuk atau menjejaskan tahap kesihatan serta keselamatan atlet.
- Kebanyakan acara Para SUKMA 2026 diadakan di venue tertutup; hanya sebahagian kecil acara olahraga di kawasan terbuka.
- Sukarelawan dipilih semula mengikut keperluan penganjuran, manakala negeri menyasarkan 60 pingat emas.
Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan cuaca dan kualiti udara, termasuk mengadakan mesyuarat khas berkaitan isu jerebu minggu lalu.
Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk atau menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan atlet.
“Kebanyakan acara Para SUKMA 2026 berlangsung di venue tertutup, manakala hanya sebahagian kecil acara olahraga diadakan di kawasan terbuka.
“Jika keadaan jerebu memburuk ataupun menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan atlet, kita mungkin akan selaraskan jadual,” katanya selepas ditemui pada program pusingan akhir Liga Usahawan Eksport Selangor (SAY Aspire) di Subang Jaya.
Dalam perkembangan berkaitan, sukarelawan yang terlibat dalam penganjuran SUKMA Selangor 2026 turut diberi peluang meneruskan khidmat pada Para SUKMA kali ini, namun hanya sebahagian daripada mereka dipilih semula mengikut keperluan penganjuran.
Selangor menyasarkan 60 pingat emas pada Para SUKMA 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 10 September ini di daerah Petaling dan Klang.
Temasya itu mempertandingkan 369 acara melibatkan 10 jenis sukan, iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.