
NEW YORK, 26 September – Malaysia menggesa penubuhan mekanisme berstruktur bagi mendokumentasikan dan mendedahkan pencerobohan terhadap tempat suci serta jemaah di Baitulmaqdis.
- Israel mesti dipertanggungjawabkan; pencerobohan serius tidak boleh dinormalisasikan walaupun berulang.
- Pendudukan Israel termasuk Baitulmaqdis Timur dianggap tidak sah menurut nasihat ICJ Julai 2024.
- Malaysia mengecam peningkatan pencerobohan di Masjid Al-Aqsa, sekatan terhadap jemaah dan usaha mengubah status quo tempat suci.
- Malaysia menyeru hentikan pembekalan senjata, sokongan kewangan kepada Israel dan sokong sekatan; turut menyokong penjagaan Hashemite serta hak Palestin untuk negara merdeka.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Israel mesti dipertanggungjawabkan dan pencerobohan serius tidak boleh dinormalisasikan hanya kerana ia berlaku berulang kali.
“Pendudukan Israel di wilayah berkenaan termasuk Baitulmaqdis Timur adalah tidak sah, selaras dengan nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai 2024.
“Malaysia turut mengecam peningkatan pencerobohan berulang di Masjid Al-Aqsa, sekatan terhadap jemaah serta usaha mengubah status quo sejarah dan perundangan tempat suci berkenaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan intervensi pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Liga Negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Baitulmaqdis di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di New York.
Datuk Seri Mohamad berkata tindakan itu berisiko mencetuskan konflik agama yang lebih meluas, sekali gus memberi implikasi terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa.
“Malaysia turut menegaskan sokongan terhadap penjagaan bersejarah Hashemite ke atas tempat suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis, selain usaha melindungi hak serta kehadiran rakyat Palestin di kota itu,” katanya.
Beliau menyeru negara anggota mengambil langkah konkrit termasuk menghentikan pembekalan senjata dan sokongan kewangan kepada Israel, selain menyokong tindakan sekatan terhadap pemimpin Israel yang didakwa menghasut kebencian dan keganasan.
Malaysia sekali lagi menyuarakan sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.