SUKIPT 2026: KPT tawar ganjaran RM20,000 untuk atlet pecah rekod kebangsaan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Mei  – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengekalkan pelbagai insentif kecemerlangan termasuk ganjaran sehingga RM20,000 bagi merangsang motivasi atlet yang bakal bersaing pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, Ogos depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ganjaran RM20,000 bagi atlet yang memecah rekod kebangsaan sepanjang temasya.
  • Gelaran Olahragawan dan Olahragawati beri ganjaran RM3,000; pasukan lelaki dan wanita terbaik RM7,000.
  • Imbuhan RM1,000 untuk hole in one golf dan permainan sempurna dalam tenpin boling.
  • SUKIPT 2026 di Universiti Malaya, 28 Ogos hingga 6 September; lebih 6,000 atlet daripada 65 kontinjen.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd Nor Azman Hassan berkata, ganjaran berkenaan menjadi antara suntikan suntikan murni kementerian dalam usaha melonjakkan mutu persaingan dan kualiti sukan universiti ke tahap yang lebih tinggi.

“Insentif ini akan menjadi pendorong terbaik bagi atlet yang bakal bersaing di SUKIPT untuk mempamerkan keupayaan terbaik anda. Oleh itu, kita cabar semua kontinjen dan para atlet untuk mempamerkan potensi terbaik.

“Rebutlah peluang keemasan ini bukan sahaja untuk mempamerkan kecemerlangan anda, tetapi juga untuk mengangkat martabat sukan di negara kita ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Azman memperincikan bahawa ganjaran RM20,000 tersebut dikhususkan buat mana-mana atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan sepanjang temasya berlangsung.

Selain itu, gelaran Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT masing-masing bakal membawa pulang RM3,000, manakala ganjaran RM7,000 pula menanti pasukan lelaki dan wanita terbaik.

KPT turut menyediakan imbuhan RM1,000 sebagai saguhati kepada atlet yang berjaya melakukan pukulan selubang (hole in one) bagi acara golf serta permainan sempurna (perfect game) dalam sukan tenpin boling.

Membawa tema “Mencipta Legasi Juara”, SUKIPT 2026 dijadualkan berlangsung di UM selaku tuan rumah bermula 28 Ogos hingga 6 September depan.

Kejohanan berkenaan menampilkan penyertaan lebih 6,000 atlet daripada 65 kontinjen seluruh negara.

Tambah beliau, temasya edisi ketujuh itu juga menjadi platform penting persediaan atlet IPT sebelum menghadapi kejohanan antarabangsa termasuk ASEAN University Games (AUG), Sukan Universiti Dunia (WUG), Sukan SEA dan Sukan Olimpik.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan KPT telah menyalurkan lebih RM400,000 insentif kecemerlangan kepada atlet IPT susulan kejayaan di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Antara pencapaian membanggakan atlet IPT negara termasuk kejayaan meraih pingat di WUG 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman selain menyumbang 31 pingat emas pada Sukan SEA Bangkok dan empat pingat emas di Sukan Para ASEAN di Korat, Thailand.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.