Tawaran biasiswa TVET semakin meningkat -Adam Adli

Foto RTM

AYER KEROH, 26 September – Tawaran biasiswa kepada pelajar bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) daripada pelbagai agensi kerajaan serta swasta dilihat semakin meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan komited melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri negara.
  • Kebolehcapaian TVET diperluas melalui program di IPTA termasuk Universiti Teknikal Malaysia, dengan penawaran biasiswa untuk mengekalkan akses.
  • Hari Biasiswa menyediakan maklumat penajaan, pembiayaan, khidmat nasihat dan laluan pendidikan sesuai untuk pelajar lepasan SPM dan STPM.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, perkembangan itu selari dengan usaha kerajaan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri negara.

“Peningkatan peluang penajaan juga penting bagi memastikan TVET terus menjadi pilihan utama pelajar, selain membuka peluang kepada mereka menikmati tawaran gaji yang lebih kompetitif.

“Kerajaan turut memberi perhatian terhadap aspek kebolehcapaian pendidikan TVET, termasuk melalui penawaran program di institusi pengajian tinggi awam, khususnya Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Kita tahu pendidikan TVET selalu dikaitkan dengan yuran yang lebih rendah berbanding akademik di universiti-universiti awam. Dalam masa yang sama, kita mahu pastikan ia diperluaskan lagi dan ditawarkan bukan hanya di institusi sedia ada, tetapi juga di universiti-universiti awam.

“Jadi, bila ditawarkan terutama di MTUN, tentu sekali kita perlu tawarkan juga biasiswa supaya aksesibiliti itu boleh dipertahankan,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Hari Biasiswa Tahun 2026** di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka (KOMBES), Ayer Keroh.

Penganjuran Hari Biasiswa itu menyasarkan kehadiran 2,000 pengunjung, khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sepanjang dua hari penganjuran yang berakhir esok.

Program berkenaan bertujuan memudahkan pelajar mendapatkan maklumat tepat mengenai peluang penajaan dan pembiayaan pendidikan tinggi, selain mendapatkan khidmat nasihat serta meneroka pelbagai laluan pendidikan yang bersesuaian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.