
KUALA LUMPUR, 26 September – Laluan tetap bagi acara larian di Kuala Lumpur perlu diwujudkan bagi mengelak penutupan jalan yang berbeza pada setiap penganjuran sehingga menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya.
- Wujudkan laluan tetap bagi acara larian supaya penutupan jalan tidak berubah-ubah dan tidak menjejaskan pergerakan pengguna.
- Penganjur dilarang memilih laluan sesuka hati, mereka boleh pilih lokasi alternatif dengan trafik lebih rendah jika tidak setuju.
- Gunakan laluan sedia ada seperti bagi Hari Tanpa Kenderaan dan tingkatkan penyelarasan agar bandar raya tidak menjadi kelam-kabut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penyelarasan lebih teratur diperlukan memandangkan jumlah kenderaan yang memasuki ibu negara mencecah lebih sejuta setiap hari.
“Kita perlu ada laluan tetap. Kalau tiga kilometer, ini laluannya; kalau lima kilometer, ini laluannya. Penganjur tidak boleh sesuka hati memilih laluan yang mereka mahu.
“Ini adalah kota raya yang sesak. Saya tidak mahu orang ramai membazir masa sehingga tiga jam hanya kerana menunggu jalan dibuka semula.
“Saya tidak boleh terima sekiranya setiap minggu laluan yang ditutup berbeza. Keadaan ini akan menyebabkan bandar raya kita menjadi kelam-kabut kerana orang ramai tidak tahu jalan mana yang akan ditutup,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pembersihan Mega Seluruh Negara dan Karnival Keselamatan Kebakaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 sempena Hari Cuci Malaysia di PPR Batu Muda, di sini.
Menurutnya, penganjur yang tidak bersetuju menggunakan laluan ditetapkan boleh mempertimbang lokasi lain yang mempunyai jumlah trafik lebih rendah.
Selain itu, beliau berpandangan, laluan sedia ada seperti yang digunakan bagi Program Hari Tanpa Kenderaan juga boleh dimanfaatkan untuk penganjuran acara larian.