
KUALA LUMPUR, 27 September – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah mengesan satu kematian melibatkan kes rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di negeri tersebut sejak 1998.
- Seorang lelaki 31 tahun digigit anjing terbiar Ogos lalu, tidak menerima PEP, kemudian mengalami gejala rabies dan meninggal.
- Ujian makmal mengesahkan jangkitan rabies selepas pengambilan sampel, pesakit dimasukkan ke ICU sebelum meninggal.
- Agensi berkaitan laksanakan tindakan One Health: survelan gigitan, kawalan haiwan terbiar, pengesanan kontak, nasihat vaksinasi dan tindakan segera selepas gigitan.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, seorang lelaki berusia 31 tahun dari daerah Kubang Pasu yang mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lepas meninggal dunia, hari ini.
“Kes (mangsa) telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian tersebut, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan atau post-exposure prophylaxis (PEP) rabies.
“Pada 18 September lepas, kes mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada anggota atas kanan.
“Gejala kemudian berkembang kepada kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan dan perubahan tingkah laku pada 22 September 2026, selaras dengan manifestasi klinikal rabies.
“Pada 23 September 2026, kes mendapatkan rawatan semula dan seterusnya dirujuk untuk rawatan lanjut. Kes kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, sampel klinikal diambil pada 24 September dan keputusan ujian makmal dua hari kemudian mengesahkan kes dijangkiti rabies.
“Susulan pengesahan kes itu, JKN Kedah bersama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah dan pihak berkaitan melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan, termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan survelan kes gigitan haiwan, penilaian risiko serta tindakan kawalan terhadap haiwan terbiar di kawasan terlibat.
“Memandangkan kes ini merupakan kes rabies dalam kalangan manusia pertama yang dilaporkan di Kedah sejak 1998, Kementerian Kesihatan (KKM) bersama-sama JKN Kedah dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan epidemiologi secara menyeluruh bagi mengenal pasti sumber jangkitan dan laluan pendedahan,” menurut kenyataan itu.
Siasatan merangkumi penelitian sejarah perjalanan dan pendedahan, pengenalpastian kontak dan faktor risiko serta analisis garis masa kejadian bagi mengenal pasti sumber dan faktor yang berkaitan dengan jangkitan tersebut.
“Tindakan kawalan sedang diperkukuh berasaskan pendekatan ‘One Health’ melalui pengesanan dan pengurusan pendedahan manusia, survelan kes gigitan haiwan, pemantauan serta penilaian risiko terhadap anjing dan haiwan yang berpotensi terdedah, serta pelaksanaan tindakan kawalan di kawasan berisiko.
“Usaha ini bagi memastikan perkongsian maklumat, pengesanan awal serta tindakan respons terhadap sebarang kes atau pendedahan dilaksanakan secara bersepadu dan pantas,” menurut kenyataan itu lagi.
Setakat Ogos 2026, sejumlah 502 kes gigitan dan cakaran haiwan telah dilaporkan dan sebanyak 65.3 peratus melibatkan anjing, 23.1 peratus kucing dan 11.6 peratus haiwan lain.
Sebanyak 56.2 peratus membabitkan haiwan peliharaan, manakala 43.8 peratus melibatkan haiwan terbiar.
Jabatan terbabit ingin mengingatkan orang ramai bahawa rabies boleh menular melalui gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur haiwan yang dijangkiti.
“Orang ramai diingatkan supaya anjing dan kucing peliharaan mereka menerima vaksinasi antirabies, tidak mendekati, menyentuh atau memberikan makanan kepada haiwan terbiar serta tidak mengambil atau memelihara haiwan yang tidak diketahui status kesihatan dan vaksinasi rabies,” menurut kenyataan itu.
Tambah JKN Kedah lagi, sekiranya digigit atau dicakar haiwan, cuci segera luka dengan sabun dan air mengalir selama sekurang-kurangnya 15 minit dan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta bagi penilaian risiko dan pemberian rawatan bersesuaian.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengendalikan bangkai haiwan tanpa diketahui punca kematiannya. Orang ramai perlu mengambil serius setiap kejadian gigitan atau cakaran haiwan dan tindakan segera selepas pendedahan dan pemberian PEP rabies yang bersesuaian amat penting dalam mencegah rabies,” menurut kenyataan itu.