
NAGOYA, 27 September – Perubahan saat akhir susulan kecederaan dua pelari utama Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee menyaksikan misi kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara untuk mara ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian pada Ahad.
- Kuartet 4x100m lelaki menamatkan saringan satu di tempat kelima dengan catatan 39.99s, gagal layak ke final.
- Kuartet 4x100m wanita turut terkandas, tempat kelima saringan satu catatan 45.24s; penampilan antarabangsa pertama bagi kuartet itu.
- Umar Osman gagal mara ke final 800m tetapi catat masa peribadi terbaik 1:48.74, manakala Andre Anura tersingkir lompat jauh.
Azeem terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika final 100m pada Jumaat, manakala Danish menarik diri juga akibat kecederaan sejurus menamatkan saingan final 200m yang turut berlangsung di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium.
Dua pelari itu digantikan oleh Mohamad Armin Zahryl Abd Latif dan Muhammad Haziq Mohd Akhir untuk bergandingan dengan Pengiran Aidil Auf Hajam serta Muhammad Umaira Subri.
Kuartet negara menamatkan saringan satu di tempat kelima dengan catatan 39.99 saat (s) sekali gus gagal berada dalam kelompok layak ke final.
China muncul juara saringan dengan catatan 38.14s, diikuti Taiwan (38.80s) dan Arab Saudi (39.90s).
Dalam pada itu, Armin mengakui perubahan pada saat akhir memberikan cabaran tersendiri, namun tetap berpuas hati dengan usaha pasukan untuk menghabiskan larian dengan baik.
“Kalau ada Azeem dan Danish, mungkin catatan masa boleh diperbaik, tetapi saya tetap berpuas hati dengan prestasi larian pasukan hari ini kerana kuartet ini dibentuk pada saat akhir,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Sementara itu, kuartet 4x100m wanita negara turut terkandas pada peringkat saringan selepas menamatkan saringan satu di tempat kelima dengan catatan
45.24s.
Kuartet dibarisi Nur Aishah Rofina Aling, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Fatin Ilyana Mat Nayan dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka itu membuat penampilan pertama mereka di pentas antarabangsa.
China mengungguli saringan dengan catatan 43.65s, diikuti Thailand (43.65s) dan Vietnam (44.06s).
Sementara itu, dalam acara 800m lelaki, Umar Osman turut gagal mara ke final meskipun mencatat masa terbaik peribadi 1 minit 48.74s untuk menduduki tempat keempat pada saringan satu.
Andre Anura Anuar pula tersingkir dalam kelayakan acara lompat jauh selepas hanya menduduki tempat kelapan Kumpulan B dengan catatan 6.49m.
– BERNAMA