
KUALA LUMPUR, 27 September – Seramai 1,000 pelajar daripada kaum India dihantar ke China secara percuma bagi mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
- TVET terbuka kepada semua kaum dan menawarkan peluang pekerjaan serta masa depan yang lebih baik.
- Kerajaan mahu golongan muda masyarakat India turut mendapat manfaat dan meningkatkan taraf hidup melalui laluan TVET.
- Graduan TVET mendapat tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian dengan gaji permulaan melebihi RM3,000 bagi beberapa bidang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peluang itu membuktikan pendidikan berasaskan kemahiran terbuka kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang.
Katanya, kerajaan mahu memastikan golongan muda masyarakat India turut mendapat manfaat daripada laluan pendidikan yang mampu membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup.
“Saya buktikan kali ini, apabila saya kata saya buta warna, saya buta warna dalam bidang pendidikan.
“Apabila kita menghantar pelajar-pelajar TVET ke negara China, saya bukan sahaja menghantar pelajar Cina, tetapi saya turut menghantar 1,000 pelajar TVET daripada masyarakat India ke sana secara percuma.
“Kenapa saya lakukan ini? Kerana TVET kini menjadi pilihan utama yang memberikan peluang pekerjaan serta masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahun ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.
Hadir sama, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri RS Thanenthiran.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pendidikan berasaskan kemahiran kini menawarkan prospek kerjaya yang semakin baik kepada golongan muda.
Malah, katanya, terdapat graduan yang menerima tawaran pekerjaan sebelum menamatkan pengajian dengan gaji permulaan melebihi RM3,000 bagi bidang tertentu.
“TVET kini menjadi pilihan utama yang memberikan peluang pekerjaan serta masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa parti-parti yang mewakili masyarakat India dalam Barisan Nasional (BN) supaya menggalakkan lebih ramai anak muda menyertai bidang berkenaan.
Katanya, pendidikan dan kemahiran perlu diberikan keutamaan kerana kedua-duanya berkait rapat dengan mobiliti sosial serta masa depan generasi muda.