
KUALA LUMPUR, 27 September – Malaysia dan Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mahu memperkukuh kerjasama melalui inisiatif yang lebih praktikal dan berorientasikan hasil bagi menangani ancaman jenayah terancang rentas sempadan yang semakin kompleks.
- Malaysia dan UNODC mahu perkukuh kerjasama praktikal dan berorientasikan hasil untuk menangkis jenayah terancang rentas sempadan.
- Ancaman jenayah rentas sempadan semakin kompleks, rangkaian jenayah memanfaatkan teknologi digital untuk meluaskan kegiatan merentasi sempadan.
- Pendekatan Malaysia termasuk penguatkuasaan bersepadu, pencegahan, pemutusan aliran kewangan jenayah serta pembangunan kapasiti serantau melalui sokongan UNODC.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Wakil Serantau UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik pada hari terakhir lawatan kerja di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sempena Kongres Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-15 Mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah.
“Pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai landskap jenayah terancang rentas sempadan yang semakin kompleks, khususnya apabila rangkaian jenayah kini memanfaatkan teknologi digital untuk memperluas kegiatan merentasi sempadan dan bidang kuasa, ” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, sebagai sebuah negara yang terletak strategik di tengah-tengah ASEAN, Malaysia memberi perhatian serius terhadap perkembangan ini.
“Pendekatan kita bukan sahaja melalui penguatkuasaan bersepadu, tetapi turut melibatkan pencegahan, pemutusan aliran kewangan jenayah serta kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Malaysia juga melihat kepentingan UNODC untuk terus menyokong negara-negara ASEAN melalui pembangunan kapasiti serantau, perkongsian maklumat dan amalan terbaik, ” katanya lagi.
Datuk Seri Saifuddin berkata, ancaman rentas sempadan terus berubah dan berkembang.
“Oleh itu, jaringan kerjasama yang kukuh dengan rakan serantau dan antarabangsa menjadi sebahagian penting daripada usaha kita memastikan keselamatan Malaysia terus terpelihara, ” tegas beliau.