Sukan Asia: Hoki wanita negara terkandas, gagal mara ke separuh akhir

Foto RTM

NAGOYA, 27 September – Hasrat skuad hoki wanita negara untuk melangkah ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Korea mendahului dengan gol Park Seung-Ae (pukulan sudut penalti) dan An Sujin sebelum rehat.
  • Malaysia intensifkan serangan babak kedua, Nurmaizatul Hanim Syafi jaringkan pukulan sudut penalti pada minit akhir.
  • Malaysia tamat Kumpulan A di tempat ketiga dengan enam mata; China dan Korea mara ke separuh akhir.
  • Skuad negara akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan pada Rabu ini.

Pada aksi di Gifu Prefectural Green Stadium itu, Korea Selatan membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Park Seung-Ae pada minit ke-15.

Korea Selatan kemudian menggandakan kelebihan kepada 2-0 menerusi jaringan padang An Sujin seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Malaysia yang memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir meningkatkan tekanan pada babak kedua, namun benteng Korea Selatan kekal ampuh menyekat setiap percubaan skuad negara.

Usaha Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada minit terakhir permainan apabila Nurmaizatul Hanim Syafi menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk merapatkan kedudukan kepada 1-2.

Bagaimanapun, jaringan lewat itu tidak mampu mengubah keputusan perlawanan, sekali gus menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga dengan enam mata.

China dan Korea Selatan masing-masing mara ke separuh akhir selepas menduduki tempat pertama dan kedua kumpulan.

Skuad negara selepas ini akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan yang dijadualkan berlangsung Rabu ini.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara hoki wanita di Sukan Asia adalah pingat gangsa pada edisi 1982 di New Delhi, sebelum menduduki tempat keempat pada edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.