Banjir Bangkok: 21 wilayah lain turut dilanda banjir

Foto AFP

BANGKOK, 26 September – Hujan lebat berterusan selama hampir 48 jam menyebabkan Bangkok diisytiharkan sebagai kawasan bencana selepas rumah, premis perniagaan dan jalan raya di beberapa kawasan ibu negara Thailand itu dinaiki air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentadbiran Metropolitan Bangkok isytiharkan semua 50 daerah sebagai zon bencana banjir untuk tindakan khas.
  • Gabenor Chadchart kata banjir mula stabil; air mungkin ambil dua hingga tiga hari untuk surut jika hujan berhenti.
  • Seramai 980 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan, 36 pesakit ke hospital, dan kira-kira sejuta beg pasir disediakan.
  • Banjir juga dilaporkan di 21 wilayah lain, dengan sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, turut memendekkan lawatan rasmi beliau ke London dan pulang ke tanah air susulan bencana tersebut.

Hampir 300 milimeter hujan direkodkan antara petang Khamis hingga pagi Sabtu, menurut pihak berkuasa tempatan.

Pihak berkuasa Thailand melalui Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) secara rasminya telah mengisytiharkan kesemua 50 daerah di Bangkok sebagai zon bencana banjir pada Sabtu, sekali gus membolehkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan khas bagi menangani situasi berkenaan.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata keadaan banjir mula stabil pada petang Sabtu. Bagaimanapun beliau menambah, air banjir mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga hari untuk surut sekiranya hujan berhenti.

Pada masa sama, keadaan turut menjadi lebih teruk apabila rangkaian terusan utama bandar raya dilaporkan melimpah, menyebabkan premis perniagaan, restoran, jalan-jalan utama dan kawasan perumahan ditenggelami air apabila hujan lebat berterusan tanpa henti sejak petang Khamis.

“Masalah kami ialah terusan sudah penuh,” kata Chadchart.

Beliau berkata, pihak berkuasa bekerjasama dengan wilayah berhampiran bagi mengalirkan air keluar dari Bangkok dan mengurangkan jumlah air yang memasuki bandar itu.

Chadchart berkata, seramai 980 penduduk telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara, manakala 36 pesakit terlantar dipindahkan ke hospital.

Pihak berkuasa turut menyediakan kira-kira sejuta beg pasir bagi membantu mengawal limpahan air dan mengurangkan kesan banjir.

Banjir turut dilaporkan berlaku di 21 wilayah lain di Thailand, dengan sekurang-kurangnya seorang dilaporkan maut.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand turut memberi amaran mengenai tekanan udara rendah yang dijangka mempengaruhi bahagian timur, timur laut dan tengah negara itu sehingga Ahad – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.