
RWANDA, 26 September – Seramai 17 orang termasuk dua jeneral tentera terkorban dalam nahas pesawat di barat daya Republik Demokratik Congo (DR Congo) pada Jumaat.
- Nahas berlaku di Kenge, ibu kota wilayah Kwango.
- Pesawat kecil Tracep berlepas dari Lapangan Terbang Kikwit ke Kinshasa lalu terhempas dan terbakar kira-kira 2.05 petang.
- Angka korban disemak semula selepas kebakaran pada bangkai pesawat berjaya dikawal.
- Presiden Felix Tshisekedi mengarahkan siasatan menyeluruh dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga serta pasukan keselamatan.
Menurut pihak berkuasa menerusi laporan Anadolu Ajansi, pada Sabtu, nahas itu berlaku di Kenge, ibu kota wilayah Kwango.
“Berbeza dengan angka awal 13 kematian, kami menemukan 16 mayat orang dewasa dan mayat seorang bayi, menjadikan jumlah keseluruhan 17,” kata Timbalan Gabenor Kwango Remy Saki kepada pemberita di Kenge.
Menurut Saki, pesawat kecil kendalian Tracep itu berlepas dari Lapangan Terbang Kikwit pada 1.50 tengah hari menuju ke Kinshasa sebelum terhempas kira-kira 2.05 petang waktu tempatan dan terbakar.
Beliau menjelaskan angka korban disemak meningkat selepas kebakaran pada bangkai pesawat berjaya dikawal.
Dua jeneral tentera yang dalam perjalanan bagi menjalankan misi rasmi antara mangsa yang terkorban, iaitu Leftenan Jeneral Joseph Mutombo, Presiden Pertama Mahkamah Tinggi Tentera, dan Leftenan Jeneral Lucien-Rene Likulia, Ketua Juruaudit Tentera, menurut kenyataan tentera.
Dalam hantaran di platform media sosial X, pejabat presiden memaklumkan Presiden Felix Tshisekedi mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti keadaan sebenar serta punca nahas itu.
Presiden turut menyampaikan “ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang mangsa, serta seluruh pasukan keselamatan”. – BERNAMA