Sukan Asia : Skuad kabaddi sasar podium, buru tiket separuh akhir

Devinthirakumaar Vijayan

KUALA LUMPUR, 10 September – Skuad kabaddi negara memasang tekad memburu tempat di podium Sukan Asia-Nagoya 2026, dengan sasaran utama menembusi saingan separuh akhir meskipun bakal berdepan cabaran sengit daripada pasukan terbaik Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan intensif tiga bulan, dua bulan di Melaka; pemilihan akhir 12 pemain daripada 15.
  • Beberapa muka baharu diserap dalam barisan skuad, menambah saingan dan kepelbagaian taktikal.
  • Kempen dibuka menentang Pakistan, diikuti Iran, Thailand dan Nepal; aksi dijadual 21 hingga 26 September.

Atlet kabaddi negara, Devinthirakumaar Vijayan Kumaran berkata, persiapan skuad berada pada tahap terbaik selepas menjalani latihan intensif selama tiga bulan.

“Kita sudah berlatih selama tiga bulan dan dua bulan daripadanya di Melaka. Daripada senarai 15 pemain, kita juga telah membuat pemilihan akhir kepada 12 orang.

“Kita harap dapat memberikan yang terbaik di Sukan Asia dan sasaran tahun ini adalah untuk mencapai podium,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM), Mohamad Azlan Iskandar dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi di Majlis Sukan Negara (MSN), di ibu negara hari ini.

Menurut pemain berusia 21 tahun itu, cabaran Malaysia dalam saingan kumpulan bukan mudah apabila dijadual berdepan Pakistan, Iran, Thailand dan Nepal, dengan Iran antara pencabar utama yang perlu diberi perhatian.

“Negara yang paling kuat ialah Iran dan India. Untuk kali ini, kita mengambil sasaran untuk masuk ke separuh akhir,” tambahnya.

Beliau turut mengakui tekanan tetap dirasai ketika menggalas cabaran negara, namun ia menjadi pembakar semangat untuk membuktikan kemampuan skuad kabaddi Malaysia dalam misi memburu pingat di pentas Sukan Asia.

Kabaddi Malaysia akan membuka kempen menentang Pakistan sebelum meneruskan aksi menentang Iran, Thailand dan Nepal yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 26 September, dengan barisan skuad kali ini turut dibarisi beberapa pemain baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.