
ALOR GAJAH, 10 September – Pemain golf remaja, Amelia Lee dan Jarvis Liew Zun Xin masing-masing dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori perempuan dan lelaki pada Pusingan Kedua Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) Persatuan Golf Malaysia (MGA) 100PLUS 2026, hari ini.
- Amelia menjuarai Kategori Perempuan A dengan 209 pukulan, tujuh bawah par, mendahului Choi Quinn-Cie sebanyak 12 pukulan.
- Amelia menamatkan tiga pusingan berturut-turut di bawah par, termasuk 69 pukulan pada pusingan penentuan.
- Jarvis merekodkan 212 pukulan, empat bawah par; kekal tenang walau gementar dan muncul juara Kategori Lelaki B.
Kejohanan selama tiga hari yang berlangsung di Kelab Golf A’Famosa itu menyaksikan kedua-dua pemain mempamerkan aksi konsisten untuk menewaskan pencabar masing-masing.
Amelia mengesahkan kejuaraan kategori perempuan dengan bergaya selepas mencatat 209 pukulan, tujuh bawah par secara keseluruhan, sekali gus mendahului 12 pukulan di hadapan pencabar terdekatnya, Choi Quinn-Cie (221 pukulan).
Pada pusingan penentuan hari ini, Amelia meneruskan rentak cemerlang dengan melakukan 69 pukulan, tiga bawah par bagi memastikan ketiga-tiga pusingan ditamatkan dengan catatan di bawah par secara berturut-turut.
Kejayaan tersebut turut membolehkan Amelia merangkul gelaran Kategori Perempuan A menewaskan naib juara, Vikasni Laakshitaa Bala Subramaniam yang mengumpul 232 pukulan.
Bagi Kategori Perempuan B, gelaran juara menjadi milik Choi Quinn-Cie dengan 221 pukulan, menewaskan Raissa Ahmad Zuhaili (226 pukulan) dan Amirah Nur Hanania Afanizam (229 pukulan).
Sementara itu, dalam persaingan kategori lelaki, Jarvis Liew Zun Xin membuktikan penguasaannya apabila merangkul kejuaraan keseluruhan menerusi catatan 212 pukulan, empat bawah par.
Jarvis yang memegang kelebihan selesa sejak hari kedua mengakui berdepan sedikit tekanan menjelang pusingan akhir, namun memilih untuk kekal tenang.
“Sejujurnya, saya agak gementar menghadapi hari terakhir ini. Namun, saya ingatkan diri untuk bermain seperti biasa, tidak terlalu agresif, lebih tenang dan cuba melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan di sini.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan Jarvis pada kedudukan teratas Kategori Lelaki B, mengatasi Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry (223 pukulan) dan Mohammad Fahrain Fadzilisham (227 pukulan).
Bagi Kategori Lelaki A pula, Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin muncul juara dengan catatan 229 pukulan, diikuti Khaleef Umar Azim Mohd Nafidz di tempat kedua (231 pukulan) dan Alif Iskandar Ishak di tempat ketiga (239 pukulan).